Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara, Pengarah Siasatan Jenayah dan agensi berkaitan disarankan mengadakan sidang kemuncak bagi menangani mesin judi haram, spa dan rumah urut.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali berkata pihak terbabit tidak sepatutnya berdiam diri dalam menangani isu berkenaan.

"Mana dia hasil KPI membenteras jenayah. Rakyat mahu tengok tindakan berkesan dan bukan retorik atau cepat melenting bila ditegur atau dikritik," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Ibrahim juga menyifatkan sikap parti-parti politik yang berdiam diri dalam isu perjuadian haram kerana takut kehilangan undi.

"Siapa dan kaum mana yang banyak terlibat dalam perjudian haram?" soal beliau.

Selain itu Ibrahim juga mempersoalkan apakah Majlis Peguam bercadang untuk mencadangkan undang-undang jenayah baru dalam soal ini atau hanya mahu menghapuskan undang-undang seperti Akta Hasutan 1946.

"Mana Majlis Peguam? Adakah Majlis Peguam nak draf undang-undang jenayah baru? Atau asyik nak hapus undang-undang saja seperti Akta Hasutan 1946?" katanya lagi.

Ahad lepas akhbar Mingguan Malaysia dalam laporan muka depannya memuatkan laporan khas mengenai kegiatan perjudian haram di Kuala Lumpur.