Seramai 93 pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Terengganu akan terlibat dalam pemantauan pelaksanaan sifar peratus Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang berkuat kuasa esok.

Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata operasi akan dijalankan terhadap semua premis perniagaan peruncitan yang berdaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam menyelaras semula kadar GST setelah peralihan kadar cukai daripada enam peratus kepada sifar peratus itu.

"Setakat ini pemeriksaan harga barangan ketika enam peratus GST telah dibuat di 380 premis dan kita akan pantau harganya selepas pelaksanaan sifar GST bermula esok. Malah untuk memperkukuhkan pemantauan dan pemeriksaan, seramai 63 pegawai pemantau harga akan bersama-sama kami dalam operasi ini.

"KPDNKK Terengganu juga akan mengadakan operasi bersama JKDM yang mempunyai bidang kuasa ke atas aktiviti perniagaan untuk penguatkuasaan yang lebih berkesan melalui tindakan bersepadu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bilik gerakan juga akan turut beroperasi di KPDNKK negeri dan daerah bermula esok dan dibuka pada setiap hari sehingga 10 malam di KPDNKK negeri dan hingga 6 petang di KPDNKK cawangan, katanya.

Katanya, bilik gerakan itu boleh dihubungi di talian 09-6204679 (KPDNKK Negeri/Cawangan Kuala Terengganu), 09-6902203 (Cawangan Besut), 09-8502457 (Cawangan Kemaman) dan 09-8453586 (Cawangan Dungun).

Sehubungan itu, beliau mengingatkan mana-mana peniaga yang tidak melaksanakan perubahan atau penurunan harga ke atas barangan dan perkhidmatan yang telah dikenakan GST sebelum ini boleh diambil tindakan di bawah beberapa akta seperti Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan, Akta Perihal Dagangan dan Akta Perlindungan Pengguna.

"Dalam hal ini, orang ramai juga perlulah mengetahui peranan dan tanggungjawab yang boleh dimainkan supaya hak mereka sebagai pengguna sentiasa terpelihara," katanya.

-- BERNAMA