Sikap menjadikan tanaman mangga harumanis hak milik eksklusif serta permintaan yang rendah adalah antara punca nilai harga semasa buah tersebut menurun.

Menurut Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Shabery Cheek berkata pihak kementerian menyedari isu tersebut dan sepatutnya pengusaha di negeri terbabit sudah boleh menjangkakan dari awal mengenai kemungkinan penurunan harga harumanis.

"FAMA pernah membantu untuk memasarkan harumanis ini dahulu tetapi harga yang ditetapkan FAMA tidak dipersetujui oleh kebanyakan pengusaha.

"Masalahnya sekarang apabila membabitkan harumanis ini ialah mereka cuba menjadikan harumanis hanya milik mereka (secara eksklusif) di Perlis dan mereka seharusnya sedar faktor bulan Ramadan juga mempengaruhi harga semasa.

"Ini kita tak boleh elak dan mereka seharusnya tahu dan buat persiapan lebih awal," katanya.

Beliau mengulas mengenai isu pengusaha harumanis di Perlis yang bertindak membakar hasil tanaman mereka kerana dikatakan nilai pasaran buah tersebut turun sehingga mencecah ke paras RM10 sekilo.

Shabery bagaimanapun berkata pihak kementerian akan menyiasat secara terperinci kejadian tersebut sama ada ia benar berkaitan dengan harganya yang turun atau keadaan buah yang mungkin tidak memuaskan.

Datuk Seri Shabery Cheek berkaitan demikian selepas menghadiri majlis membahagikan bubur lambuk kepada warga asnaf kementerian itu di Putrajaya.