Mentaliti dan sikap pengguna merupakan antara penyumbang utama kepada kejadian kemalangan jalan raya yang sering berlaku berhampiran kawasan "panas" sekitar Terowong Menora, Lebuhraya Utara Selatan ( PLUS), Perak.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Superitendan Wan Jamil Wan Chik berkata antara faktor utama kemalangan sekitar Kilometer 255 hingga Kilometer 269 di lebuh raya tersebut adalah sikap pengguna jalan raya sendiri.

Jelasnya, kebanyakan pemandu masih lagi mengamalkan budaya pemanduan tidak berhemah dan kurang sifat toleransi ketika menggunakan lebuh raya tersebut khususnya di musim kemuncak.

"Kita perlu tahu, jika kita kaitkan kemalangan di kawasan itu dengan masalah teknikal seperti geografi cerun, keadaan jalan raya serta struktur muka bumi dan sebagainya, perkara tersebut memerlukan masa bagi sebarang penaiktarafan dan penambahbaikan lanjut dari pihak berwajib.

"Tapi apa yang boleh dilakukan segera adalah sikap, sikap pengguna jalan raya yang masih lagi kurang bertimbang rasa dalam pemanduan dan leka ketika tiba di kawasan berkenaan,"katanya kepada ASTRO AWANI ketika dihubungi.

Tambahnya, pengguna jalan raya seharusnya bijak mengenal risiko jalan raya yang curam serta mengelakkan daripada memandu secara berbahaya dan laju apatah lagi berhampiran cerun dan selekoh berbahaya di sepanjang jalan berhampiran Terowong Menora itu.

"Fikirkan mengenai keselamatan kita, dan juga pemandu-pemandu yang lain, jangan bersikap terburu-buru dan saya yakin kemalangan meragut nyawa atau mendatangkan kerugian dapat dielakkan," katanya.

Katanya lagi, statistik menunjukkan terdapat peningkatan dari segi angka kemalangan maut yang bertambah dari dua kematian kepada empat kematian dari tempoh Januari hingga Disember 2014 ke tahun 2015 bagi tempoh yang sama di Kilometer 261.7-255.

Wan Jamil berkata kemalangan yang melibatkan kerosakan pula adalah sebanyak 358 pada tahun 2015 ( Jan-Disember 2015) ke 208 kes setakat bulan Jun 2016.

"Manakala bagi Kilometer 261.8-269 menghala ke arah selatan, hanya satu kes kemalangan melibatkan kematian direkodkan pada daripada Januari hingga Disember 2014 manakala tiga kes kematian pada 2015 bagi tempoh sama.

"Angka itu terus meningkat ke lima kes kematian bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini," katanya lagi.

Jelasnya, peningkatan kes kemalangan jalan raya yang meragut nyawa itu boleh dikurangkan dan dielakkan dengan mengubah ke cara pemanduan lebih berhemah dan rasional.