'Sinar sambutan Deepavali semakin malap buat saya' - Gelandangan

'Sinar sambutan Deepavali semakin malap buat saya' - Gelandangan
Penghuni Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur di Jalan Pahang itu mengakui, sejak bercerai dengan isterinya dua tahun lalu, hubungan kekeluargaan bersama anak dan cucunya turut terputus. - Gamabr Hiasan / AFP
KUALA LUMPUR: Kemeriahan sambutan Pesta Cahaya atau Deepavali yang sepatutnya dirai dengan penuh kemeriahan hari ini tidak sama dengan apa yang dirasai N. Kanagaraj, 59.

Malah katanya cahaya terang yang diharapkan semakin hambar malah terus malap, jauh dari keceriaan yang pernah dikecapinya satu ketika dahulu, sebelum bergelar gelandangan di ibu negara.

Penghuni Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur di Jalan Pahang itu mengakui, sejak bercerai dengan isterinya dua tahun lalu, hubungan kekeluargaan bersama anak dan cucunya turut terputus.

"Saya ada dua anak di Singapura. Mereka sudah berkahwin dan saya juga sudah ada cucu. Sejak saya bercerai, saya terus tiada perhubungan langsung dengan keluarga termasuklah anak dan cucu saya. Jadi saya tinggal sendirian di sini (Kuala Lumpur)," katanya ketika ditemui pada sambutan Rumah Terbuka Deepavali, Jom Diwali anjuran Institut Onn Ja'afar (IOJ) di sini hari ini.

Dia pada masa sama mengakui, sambutan Deepavali kali ini tidak bermakna apabila bukan sahaja dia tidak dapat meraikannya bersama keluarga, malah lima anggota keluarganya meninggal dunia pada tahun ini.

"Itu yang saya rasa amat sedih kerana bila saya telefon adik saya semalam, dia kata dia ada di Langkawi.

"Selain itu,  tahun ini saya tidak boleh sambut dengan begitu meriah dan gembira sebab lima aggota keluarga saya meninggal dunia tahun ini. Jadi dalam tempoh setahun kita tidak boleh terlalu bergembira termasuk ketika sambutan Deepavali," katanya.

Bagaimanapun, baginya, walaupun sambutan Deepavali di pusat transit gelandangan itu tidak semeriah bersama keluarga, namun ia memberi erti yang cukup besar kepada dirinya.

"Apa yang unik saya lihat di sini adalah pusat ini masih baharu dan banyak NGO buat sambutan sekaligus memeriahkan kita yang mana orang macam kami ini yang tidak ada keluarga, rasa macam kami ini sebuah keluarga yang besar," ujarnya.

Justeru, beliau yang masih menantikan peluang pekerjaan terus mengharapkan agar mereka di luar sana tidak memandang rendah kepada golongan gelandangan, kerana itu bukan yang dipinta.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (IOJ), Charles Mohan berkata pihaknya melihat golongan itu sepatutnya tidak dipinggirkan pada setiap perayaan.

"Jom Diwali adalah program susulan daripada Jom Raya yang kita telah adakan pada Hari Raya Aidilfitri.

"Kita adakan ini adalah sebahagian usaha kita untuk memberi suasana dan satu peluang baru kepada golongan gelandangan dan kanak-kanak yang kurang bernasib baik di sekitar KL kerana mereka seringkali dipinggirkan dan kami nak mereka sama-sama merasai kemeriahan sambutan Deepavali sebagai rakyat Malaysia yang berbilang kaum," ujarnya.

Tambahnya Charles, pihaknya turut menjalin kerjasama dengan beberapa agensi dan NGO lain seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Yayasan Chow Kit dalam meringankan penderitaan gelandangan.