Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah terbesar yang berselindung di sebalik bungkusan teh Cina bernilai RM26.1 juta dalam enam serbuan di Pulau Pinang.

Dalam enam serbuan di beberapa lokasi itu, sebanyak 473 bungkusan teh Cina berisi 506 kilogram (kg) dadah disyaki syabu dan 13 bungkusan mengandungi 26,000 biji pil ecstasy berjaya dirampas.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Kang Chez Chiang berkata serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, JSJN negeri, serta Sekretariat Nukleus Narkotik (SNN) Kedah pada Selasa lepas berjaya menahan empat suspek dipercayai anggota sindiket dadah tersebut.

Kang berkata polis percaya dadah itu dibawa masuk melalui jalan darat atau laut dari negara jiran.

Selain dadah, polis menyita tiga kenderaan iaitu kereta Proton Waja, Proton Wira dan Volkwagen Golf; wang tunai RM20,000; pelbagai barangan kemas, serta seutas jam tangan daripada suspek.

Semua suspek yang ditangkap kini direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah hingga Isnin ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Katanya, dua daripada empat suspek positif dadah jenis syabu selain rekod jenayah lampau.

Beliau bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Pulau Pinang di sini pada Khamis.

Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING) Bukit Aman, Datuk Arjunaidi Mohamed dan Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Roslee Chik.