Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang berjaya menumpaskan sindiket eksploitasi pembantu rumah dengan penahanan dua suspek yang dipercayai dalang utama kegiatan terbabit.

Pengarah Imigresen Negeri, Meor Hezbullah Meor Abd Malik berkata, suspek warga tempatan iaitu seorang lelaki dan perempuan masing-masing berusia 37 dan 48 tahun itu ditahan pada Selasa hasil risikan serta intipan selama hampir sebulan.

Hasil serbuan di empat buah kediaman milik kedua-dua suspek, pihaknya berjaya menyelamatkan lima warganegara Indonesia berusia antara 20 hingga 26 tahun yang menjadi mangsa pemerdagangan sindiket berkenaan bagi mengaut keuntungan.

Siasatan mendapati sindiket yang beroperasi sejak lebih dua tahun itu berjaya mengaut keuntungan antara RM10,000 hingga RM15,000 sebulan.

"Melalui akuan awal daripada kelima-lima mangsa, gaji mereka tidak pernah diterima secara fizikal daripada suspek dan kebebasan mereka juga turut disekat seperti cuti bekerja dan juga penggunaan telefon bimbit bagi menghubungi ahli keluarga di negara asal," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Meor Hezbullah berkata buat masa ini mangsa pemerdangan itu akan ditempatkan di rumah perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum tindakan selanjutnya dibuat.

Hasil penggeledahan yang dilakukan ke atas keempat-empat lokasi, beberapa barangan berkaitan telah dijumpai dan dirampas termasuk enam pasport Indonesia, wang tunai berjumlah RM465, tiga telefon bimbit, sekeping kad debit atau kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan tiga keping kad kredit

Turut dirampas dalam serbuan itu ialah satu cop syarikat, buku resit, penyedut hampagas serta dua buah kereta masing-masing daripada jenama Honda CRV dan Perodua Kenari.

Kes disiasat dibawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Pindaan 2010), dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).