Polis Diraja Malaysia (PDRM) wajar menjalankan siasatan menyeluruh ke atas tiga individu termasuk seorang 'pelakon bergelar Datuk' selain mengharamkan serta-merta sebarang aktiviti penjualan rumah sindiket perumahan itu di masa depan.

Aktivis PPIM, Muhammad Yusuf Azmi berkata, tindakan tegas itu perlu diambil bagi memastikan tiada lagi orang ramai yang bakal menjadi mangsa dengan sindiket penipuan perumahan tersebut.

Malah beliau turut menggesa supaya isteri 'usahawan' serta ejen-ejen syarikat penipuan itu ditahan bagi membantu siasatan.

"Berita penahanan usahawan penipu ini bukan satu yang menggembirakan buat PPIM. Kita mendesak PDRM menjalankan siasatan menyeluruh dan bukan hanya menahan tiga individu terbabit selama dua hari sebaliknya turut menangkap isteri serta ejen-ejen yang masih bebas.

"PPIM juga melihat fenomena ini sebagai satu sindiket penipuan terbesar di Malaysia dan tindakan proaktif perlu dilakukan PDRM," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Dalam pada itu, Muhammad Yusuf mendesak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) supaya menyiasat akaun syarikat tersebut, akaun usahawan serta isteri dan keluarganya bagi mengetahui aliran wang tunai yang kononnya dilaburkan untuk pembinaan projek perumahan tersebut.

"PDRM dan LHDN perlu siasat akaun isterinya berdasarkan kepada gaya hidup wanita tersebut dengan menggayakan baju, beg tangan serta kereta mewah.

"Kita bukan menuduh tetapi duit itu mungkin hasil daripada duit orang yang menyertai projek perumahan tersebut," katanya yang menyifatkan sindiket itu sebagai sindiket tidak bertanggungjawab.

Selain itu, Muhammad Yusuf mencadangkan supaya satu pasukan khas ditubuhkan bagi menyiasat sindiket penipuan tersebut yang terdiri daripada PDRM, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan serta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ujarnya, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) merampas dan menurunkan poster-poster promosi sindiket penipuan tersebut.