Cubaan sekumpulan sindiket penipuan kad warga asing untuk mengaut untung kira-kira RM1 juta berjaya dipatahkan polis dalam satu serbuan di daerah Sandakan, baru-baru ini.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, seramai enam ahli sindiket melibatkan empat lelaki dan dua wanita tempatan berjaya dicekup dalam kejadian berkenaan.

Beliau berkata, kumpulan tersebut disyaki terlibat secara langsung dengan aktiviti menjual kad data dokumentasi warganegara asing secara palsu.

Jelasnya, serbuan itu dilakukan jam 4.20 petang pada 22 November lalu di sebuah premis berhampiran Batu Tiga Setengah, Sandakan,dengan sebanyak 58 keping kad data dan 1,224 keping dokumentasi warga asing berjaya dirampas.

"Kad ini dijual pada harga RM800 sekeping.

"Tujuan kad ini dikeluarkan adalah kononnya bagi mendapatkan Pas Sementara Sabah (PSS)," katanya.

Zaini berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Kota Kinabalu, pada Isnin.

Mengulas lanjut, selain daripada kad yang dirampas, pihaknya turut menemukan beberapa barangan lain seperti pelbagai borang permohonan, resit buku dan empat set komputer dipercayai digunakan oleh suspek terlibat.

"Di dalam kes ini, kita telah berjaya membuat tangkapan seramai enam orang di mana empat lelaki dan dua wanita tempatan yang berumur dalam lingkungan 21 hingga 66 tahun.

"Kesemua tangkapan ini dibuat dan disiasat mengikut Seksyen 402 /511 Kanun Seksaan atas kesalahan cubaan menipu," katanya.

Menurut beliau lagi, kumpulan sindiket yang berselindung di sebalik syarikat pengurusan itu dikesan melakukan tiga kesalahan menipu sebelum ini dan pernah didakwa di mahkamah.

Zaini dalam pada itu meminta mana-mana mangsa yang terlibat dalam kes penipuan berkenaan untuk tampil segera bagi membantu siasatan polis.