Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman tiga lagi anggota penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 30 April bagi membantu siasatan kes rasuah lori kebal di Pulau Pinang.

Mereka ditahan selepas didakwa melindungi pemandu-pemandu lori, yang melakukan kesalahan jalan raya khususnya membawa muatan lebih di sekitar negeri itu.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret L. Umma Devi selepas membenarkan permohonan reman yang dikemukakan SPRM terhadap penguat kuasa gred 19 hingga 32 berkenaan kira-kira jam 10.30 pagi Rabu.

Dua daripada mereka adalah penguat kuasa JPJ Perlis manakala seorang lagi bekas anggota Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Penguat kuasa JPJ yang kini bertugas di Perlis tersebut sebelum ini anggota SPAD.

Mereka merupakan sebahagian daripada seramai 21 penguat kuasa JPJ yang dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri itu semalam bagi membantu siasatan kes sama.

BACA: SPRM panggil 24 lagi penguat kuasa JPJ Pulau Pinang bantu siasatan

Proses siasatan dan tahanan reman itu adalah fasa ketiga selepas 46 anggota JPJ dipanggil SPRM negeri untuk memberi keterangan kes sama sejak minggu lalu.

Rabu lalu, 23 daripada 24 anggota penguat kuasa JPJ berkenaan dibebaskan dengan jaminan manakala seorang lagi masih ditahan.

BACA: Lori kebal: 30 individu termasuk 24 anggota penguatkuasa JPJ direman

Ia diikuti dengan seramai 22 anggota penguat kuasa lagi yang dipanggil memberi keterangan Sabtu lalu sebelum lima daripada mereka termasuk orang awam direman sehari kemudian.

BACA: Sindiket 'lori kebal': 22 lagi penguat kuasa JPJ ditahan SPRM

BACA: JPJ tubuh Jawatankuasa Khas kaji keseluruhan operasi

Semua penguat kuasa JPJ gred 19 hingga 32 itu dipercayai menerima bayaran bulanan sebanyak RM10,000 sebulan dan sehingga kini jumlah terkumpul bagi kesemua wang rasuah itu sudah melebihi RM140,000.