Polis berjaya menumpaskan sindiket memproses dadah bernilai hampir RM10 juta yang didalangi tiga lelaki warga tempatan dipercayai untuk pasaran tempatan serta negara jiran.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Kamarulzaman Mamat berkata, serbuan dijalankan pada lima lokasi di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

"Ketika serbuan di sebuah kediaman mewah di Bukit Tunku, kita berjaya tahan seorang lelaki Melayu berusia 30 tahun yang berada di dalam makmal dadah.

"Polis turut merampas peralatan serta bahan kimia dipercayai untuk memproses dadah," katanya pada sidang media di Bukit Aman pada Jumaat.

 Kamarulzaman Mamat (tiga dari kanan) menunjukkan antara rampasan yang dibuat oleh polis. - Gambar Astro AWANI

Sementara empat lagi serbuan lain kesemuanya dijalankan di Bandar Sri Damansara yang membawa kepada tangkapan dua lagi suspek berbangsa Cina masing-masing berusia 48 dan 59 tahun serta penemuan sebuah lagi makmal memproses dadah di kawasan rumah kedai.

Antara jenis dadah yang dirampas termasuk 59.25 kilogram syabu, 365 gram candu, dan 197,580 pil ekstasi selain turut menyita empat buah kenderaan mewah serta wang tunai yang kesemuanya bernilai RM220,000.


Menurut Kamarulzaman, hasil risikan selama dua bulan telah membawa kepada kejayaan operasi serbuan berkenaan.

Kesemua suspek yang ditahan telah direman bermula 11 Julai hingga 17 Julai di bawah seksyen 117 kanun prosedur jenayah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.