Pihak berkuasa Thailand mengesahkan bahawa Malaysia adalah destinasi yang dirancang bagi 14.8 juta pil 'yaba' (syabu) yang dirampas dari sebuah treler di Ayutthaya, bahagian tengah Thailand pada 18 Ogos.

Dari Malaysia, yang sindiket itu menggunakan sebagai negara transit, dadah tersebut akan diseludup ke destinasi lain.

"Hasil siasatan, kami mendapati bahawa dadah itu sepatutnya di bawa ke selatan Thailand dan kemudian diseludup ke Malaysia dan ke negara lain," kata ketua Biro Anti Narkotik (NSB) Lt Jen Sommai Kongvisaisuk pada sidang media hari ini.

Selain treler yang sarat dengan dadah, para pegawai NSB juga menahan tiga lelaki yang semasa soal siasat memberi maklumat yang amat diperlukan mengenai sindiket tersebut susulan rampasan dadah itu dan destinasi yang dirancang selepas Ayutthaya.

Dalam operasi yang diselaraskan, pihak berkuasa Thailand mengarahkan treler tersebut berhenti ketika dalam perjalanan ke sebuah gudang di Bang Pra-in, Ayutthaya untuk memunggah turun dadah itu lalu menahan ketiga-tiga suspek.

Menurut Sommai, sindiket itu mendapat bekalan dadah secara langsung dari kumpulan-kumpulan dalam Wilayah Khas WA di Myanmar untuk diedarkan ke pasaran yang lebih luas dengan menggunakan antara lain Thailand dan Malaysia sebagai negara transit.

"Sindiket tersebut adalah salah satu daripada sindiket dadah transnasional di Thailand," kata beliau dan menambah ini merupakan rampasan terbesar pil 'yaba' oleh NSB sepanjang tahun ini.

Sementara itu, ketua bahagian interdiksi NSB, Mej Jen Dussadee Choosankjit memaklumkan bahawa salah seorang daripada gtiga lelaki yang ditahan dalam operasi telah dikenal pasti sebagai anak lelaki kepada dalang sindiket itu yang kini masih bebas

Menurut beliau, sindiket berkenaan menggunakan modus operandi yang kompleks untuk mengelakkan daripada dikesan oleh pihak berkuasa.

Ketua Pejabat Lembaga Kawalan narkotik (ONCB), Sirinya Sitdichai yang hadir semasa sidang media kitu berata, dari Oktober tahun lepas hingga 20 Ogos, 2018, pihak berkuasa telah merampas 299 juta pil 'yaba' berbanding 214 juta pil dalam tempoh yang sama.

Bagi NSB, dalam tempoh yang sama, ia merampas 48.82 juta pil 'yaba', 5.31 tan 'ice' (Crystal Methaphetamine), 626 kg heroin, 100.92 kg kokain dan 9.37 tan ganja, bernilai kira-kira 10.17 bilion Baht (RM1.271 bilion).

-- BERNAMA