Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya membongkar satu sindiket penyeludupan dadah ke Singapura menggunakan perkhidmatan kurier selepas menyerbu sebuah syarikat kurier di Senai di sini, 15 Mei lepas.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata susulan serbuan itu sebanyak 33 lagi serbuan dilakukan di Seri Alam, Kulai serta Kluang pada 22 Mei dan polis berjaya menahan 30 ahli sindiket berkenaan.

Katanya, mereka yang ditahan adalah 25 lelaki dan wanita tempatan, dua lelaki warga Singapura, seorang lelaki dan wanita warga Indonesia serta seorang wanita rakyat Myanmar.

"Dalam serbuan ini, polis telah merampas sebanyak 8.4 kilogram (kg) syabu; 1.29 kg ketamin; 105 gram serbuk ekstasi; 1,430 biji pil ekstasi, 108 biji pil erimin 5 dan 6.1 gram ganja yang keseluruhan bernilai RM579, 659.50.

Polis juga telah menyita pelbagai barangan kemas, sembilan buah kenderaan, sebuah motosikal, wang tunai RM62,447, mata wang Singapura SGD100 (RM304) dan tiga akaun bank tempatan yang mempunyai wang sebanyak RM85,616.13 di dalamnya," katanya dalam sidang media di sini, Rabu ini.

Ayob Khan berkata menerusi serbuan terbabit pihaknya menemukan sebuah makmal mini, dipercayai tempat memproses dadah jenis pil ekstasi dan merampas beberapa barangan termasuk dua mesin pencetak pil, satu mesin pengisar serta 82 batang besi acuan 'puncher'.

"Hasil saringan air kencing mendapati 12 daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine, benzo dan ketamin manakala dua lelaki warga Singapura yang ditahan pula merupakan orang dikehendaki berkaitan jenayah dadah di Singapura," katanya.

Beliau berkata pihaknya percaya sindiket ini aktif sejak tiga bulan lepas dengan menjadikan syarikat kurier sebagai modus operandi mereka untuk menyeludup dadah ke republik itu.

Semua suspek kini direman selama tujuh hari bermula 15 Mei hingga esok untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(109a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Akta Imigresen 1959/63.

Polis juga masih memburu empat lagi suspek yang terlibat dalam kes berkenaan, katanya.