Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad diberi sambutan negara oleh Kerajaan Singapura dengan memeriksa kawalan kehormat sejurus tiba di The Istana di sini hari ini.

Ketibaan beliau bersama isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali disambut oleh rakan sejawatnya, Lee Hsien Loong dan isteri, Ho Ching.

Lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan sebelum Dr Mahathir dan Hsien Loong memeriksa kawalan kehormat.

Beliau kemudian mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Singapura, Halimah Yacob.


Hsien Loong dan isteri kemudian menghoskan majlis makan tengah hari bagi meraikan Dr Mahathir dan isteri, selepas Majlis Penamaan Bunga Orkid.

Terdahulu, Dr Mahathir tiba di Singapura pukul 8.40 pagi sempena lawatan rasmi dua hari sebelum menyertai sembilan lagi ketua kerajaan untuk Sidang Kemuncak ASEAN Ke-33.


Lawatan itu adalah sebahagian daripada lawatan pengenalan peringkat tinggi Dr Mahathir ke negara-negara ASEAN selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-7 pada Mei lepas.

Antara yang mengiringi Perdana Menteri ialah Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking serta pegawai kanan daripada Pejabat Perdana Menteri dan Wisma Putra.