Singapura dan Malaysia setuju cari jalan penyelesaian isu air

Singapura dan Malaysia setuju cari jalan penyelesaian isu air
Tun Dr Mahathir Mohamad (kiri) bersalaman dengan rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong ketika perjumpaan bagi mengadakan perbincangan di bawah rangka kerja Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura Kesembilan. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Pertemuan Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad dan rakan sejawatannya Lee Hsien Loong di Bangunan Putra Perdana, di sini, berlangsung dalam suasana positif, walaupun mereka membincangkan beberapa isu kritikal antara dua negara, termasuk Perjanjian Air 1962.

Dalam sidang media bersama selepas pertemuan itu, kedua-dua Perdana Menteri bersetuju bahawa rundingan yang diketuai Peguam Negara masing-masing akan diteruskan bagi mencapai situasi menang-menang bagi kedua-dua pihak.

“Bagi Malaysia, penyelesaian isu harga air yang telah berlarutan sekian lama merupakan antara keutamaan Malaysia. Kami telah mengadakan pertemuan secara aktif untuk menyemak semula penilaian yang dilakukan pada awal 90an dan 2000.
“Perdana Menteri Lee dan saya bersetuju untuk mencari jalan penyelesaian, termasuk kemungkinan penyelesaian pertikaian melalui timbang tara, yang dipersetujui kedua-dua belah pihak,” katanya kepada sidang media.

Sementara itu Lee berkata, pendirian Singapura masih tetap iaitu Malaysia telah hilang haknya untuk menilai semula perjanjian itu.

Namun, katanya itu tidak sama sekali menghalang perbincangan terus dilakukan dalam suasana yang positif, mengambil kira hubungan baik antara dua negara sejak sekian lama.

“Kami telah bersetuju pada November lepas bahawa Peguam Negara kami akan bertemu untuk memahami kedudukan perundangan kedua-dua negara tentang hak ke atas perjanjian itu,” katanya lagi.

Sidang media itu diadakan sempena Permukiman Pemimpin Malaysia dan Singapura kali kesembilan, yang diadakan selama dua hari bermula semalam, di Putrajaya.





Tag: perjanjian air Malaysia Singapura, Perjanjian Air 1962, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, Perdana Menteri Malaysia, Dr Mahathir Mohamad, Permukiman Pemimpin Malaysia dan Singapura


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.