Singapura masih belum menerima sebarang makluman rasmi daripada Malaysia berhubung pembatalan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) kata Kementerian Pengangkutan republik berkenaan pada Isnin.

"Kami bersetuju untuk meneruskan projek HSR berdasarkan berdasarkan manfaat bersama dan kewajipan yang ditetapkan dalam perjanjian dua hala HSR," kata jurucakap Kementerian berkenaan dalam jawapan kepada emel Bernama.

"Kami akan menunggu komunikasi rasmi daripada Malaysia," kata jurucakap itu.

Terdahulu semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, mengesahkan bahawa Malaysia akan membatalkan projek berkenaan dan mungkin membayar RM500 dalam bentuk pampasan.

"Ia adalah keputusan muktamad tetapi ia akan memakan masa berikutan kita mempunyai perjanjian dengan Singapura.

"Ia tidak memberi manfaat kepada Malaysia kerana ia akan membabitkan kos yang amat besar dan kita tidak akan meraih keuntungan daripadanya disebabkan ia landasan yang pendek," katanya.

Dr Mahathir berkata, Malaysia akan membincangkan perkara berkenaan dengan Singapura tidak lama lagi dengan hasrat untuk mengendalikan pembatalan projek itu dengan 'kos yang rendah'.

Projek HSR, yang membabitkan laluan sepanjang 335 kilometer akan dibina di Malaysia, membabitkan empat negeri untuk menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura. Ia dijadualkan siap pada 2026.

-- BERNAMA