SIRIM Bhd hari ini memperkenalkan dua inisiatif strategik, Rangkaian Inovasi Food 4 Future dan Standard Pengurusan Inovasi SIRIM bagi menggalakkan produktiviti dan pembangunan mampan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan berteraskan teknologi serta inovasi.

Rangkaian Inovasi Food 4 Future bertujuan mewujudkan jaringan berasaskan kepercayaan bagi jalinan kolaboratif jangka panjang antara SIRIM dan PKS.

Standard Pengurusan Inovasi SIRIM pula merujuk garis panduan bagi industri perkhidmatan dan pembuatan Malaysia membabitkan kaedah pembangunan pertubuhan inovasi menerusi pembudayaan dan aktiviti inovasi dalam proses yang lebih berstruktur.

Ketika melancarkan inisiatif itu, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah menyifatkan inisiatif berkenaan sebagai tepat pada masanya dan sejajar keperluan negara mendapatkan model perniagaan baharu bagi merancakkan kemampanan kolaboratif jangka panjang antara SIRIM dan PKS.

"Saya berasa gembira kerana SIRIM sudah mengambil langkah-langkah proaktif mewujudkan satu Rangkaian Inovasi bertujuan menggalakkan inovasi dalam kalangan PKS. Ini sudah pastinya akan menyumbang secara langsung kepada rantaian industri makanan," katanya berucap pada majlis itu di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi SIRIM, Tan Sri Dr Ir Ahmad Tajuddin Ali.

Abu Bakar turut menggesa semua PKS yang hadir di majlis berkenaan untuk mendapatkan salinan Standard Pengurusan Inovasi SIRIM bagi rujukan masing-masing serta sebagai panduan pelaksanaan pengurusan teknologi dalam perniagaan mereka.

Beliau juga memuji usaha SIRIM melancarkan Model Inovasi Perindustrian menerusi pakatan strategik SIRIM-Fraunhofer yang menggunapakai prinsip model Fraunhofer dari Jerman dalam penyelidikan gunaan bagi pembangunan PKS.

"Bagi model ini, SIRIM bekerjasama dengan rakan strategik serta industri yang menyediakan perkhidmatan inovasi bidang penyelidikan dan pembangunan selain aspek penembusan pasaran bagi menyemarakkan pertumbuhan PKS," katanya.

-- BERNAMA