Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak hari ini memutuskan bahawa sisa kepak ayam yang dilupuskan di sebidang tanah di Jalan Teluk Engkalat di sini pada Jumaat lalu akan digali semula.

Ia akan dipindahkan ke Tapak Pelupusan Sampah Kemunyang dengan kerjasama Majlis Perbandaran Padawan (SMC).

Pengarahnya, Tuan Haji Ahmad Zainuddin melalui kenyataan akhbar berkata, pihaknya telah mula menyedari kawasan perlupusan tersebut telah mula digali semula oleh orang awam dan dengan serta merta pihaknya mengadakan mesyuarat khas bersama agensi-agensi kerajaan setempat.

Sehubungan itu, menurut jurucakap JKDM Sibu ketika dihubungi melalui aplikasi Whatsapp mengesahkan bahawa kepak ayam tersebut telah dirampas oleh Unit Penguat Kuasa Kastam di Pelabuhan Sibu Rajang, atas kesalahan tidak mempunyai permit import yang sah dan difahamkan juga datang daripada negara Belanda.


"Kepak ayam tersebut dirampas pada 23 Februari 2017 yang lalu dengan nilai anggaran Kastam RM543,706.30, dengan berat 81,500kg.

"Manakala nilai anggaran duti import nya adalah sebanyak RM108,751.20," katanya.

Hasil semakan di laman sesawang Jabatan Perkhidmatan Veterinar mendapati Malaysia telah mengeluarkan larangan pada 30 November tahun lepas terhadap import sebarang unggas dari Belanda berikutan penularan Selesema Burung Patogen Tinggi di dalam negara Kesatuan Eropah itu.