Sistem Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) yang baharu bakal diperkenalkan tidak lama lagi, yang antara lainnya, menyenaraikan syarat-syarat lebih ketat untuk projek pembangunan mega termasuk penambakan laut.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sistem EIA baharu itu akan dibentangkan di peringkat jemaah menteri terlebih dahulu sebelum dibawa ke peringkat seterusnya.

"Selepas jemaah menteri bersetuju (dengannya), kita akan bentangkan pada Majlis Pembangunan Fizikal Negara sebelum kita bentangkan pada Majlis Tanah Negara.

"Selepas itu, kalau semua tiada halangan dengan sistem EIA baharu, barulah ia boleh diguna pakai," katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara Jabatan Perhilitan dan Persatuan Patologi Veterinar Malaysia di sini, hari ini.

Menurutnya sistem EIA baharu itu akan mengambil kira faktor sosial dan impak politik termasuk aduan para nelayan selain membabitkan penyertaan lebih banyak agensi termasuk Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Taman Laut dan Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (Nahrim).

Ditanya mengenai projek pembangunan Seri Tanjung Pinang Fasa II, Wan Junaidi berkata projek berkenaan telah diluluskan dan tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan dalam laporan EIA.

"Mana-mana projek pembangunan yang sudah diluluskan, tidak boleh ditarik balik. Saya sudah maklumkan kepada kerajaan negeri Pulau Pinang bahawa mana-mana projek pembangunan selepas ini adalah tertakluk kepada sistem EIA baharu," katanya.

Beliau berkata projek tambakan laut untuk pembinaan tiga pulau buatan di negeri ini adalah tertakluk di bawah sistem EIA baharu itu tetapi pembangunan projek berkenaan masih belum diluluskan.

-- BERNAMA