KEMANUSIAAN dicorak dengan kepelbagaian cara hidup dan cara berfikir yang dipraktikkan dalam hidup harian setiap komuiniti manusia. Lazimnya sistem nilai wujud dalam sesuatu masyarakat berlandaskan sistem kepercayaan yang dipengaruhi oleh pengajaran dan tradisi agama dan budaya, serta perkembangan yang berlaku dalam ekosistem masyarakat tersebut.

Sistem nilai memainkan peranan utama dalam menentukan hala tuju masyarakat dan pilihan-pilihan yang dibuat untuk menjalankan urusan hidup. Selain agama dan budaya, persekitaran mempunyai pengaruh ke atas sistem nilai dan boleh menyebabkan ia berubah dari satu masa ke satu masa.

Masyarakat yang berpegang kuat kepada agama selalunya menurunkan pengajaran tentang tingkah laku dan pemikiran yang harus dianuti oleh pengikut agama itu. Agama yang sudah berkurun-kurun berkembang seperti Islam, Kristian, Hindu dan Buddha serta sistem kepercayaan seperti Tao dan Shinto mempunyai tamadun tersendiri yang digariskan dengan pelbagai pengajaran dan perkembangan dari zaman ke zaman.

Walaupun dari segi teologi dan tafsiran tentang Tuhan atau kuasa agung, cara menyembah, sembahyang serta ritual-ritual yang berkaitan agak berbeza, terdapat banyak persamaan dalam nilai hidup bermasyarakat yang terkandung dalam pengajaran agama dan sistem kepercayaan tersebut. Dengan kata lain, apabila dikupas dan diasingkan teologi dan sistem keagamaan, didapati banyak nilai kemanusian sejagat yang dikongsi bersama.

Justeru, nilai agung masyarakat seperti keadilan, keamanan, keharmonian dan kesatuan yang menjadikan ia sempurna amat penting sebagai falsafah kemanusian yang tidak berganjak. Nilai utama atau aspirasi serta idealisme tersebut pula dimanifestasikan sebagai nilai-nilai sampingan yang lebih mudah difahami dan dipraktikkan dalam hidup harian komuniti-komuniti tertentu.

Sudah tentu masyarakat majmuk seperti Malaysia menghadapi cabaran merealisasikan idealisme kesatuan dan perpaduan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan budaya dengan aspirasi masing-masing. Selain ini, setiap komuniti mempunyai sensitiviti dan tabu tersendiri yang penting diambil kira dalam mana-mana rancangan kemasyarakatan.

Pendekatan yang efektif ialah mengenal pasti nilai yang dikongsi di samping nilai yang asing dalam agama dan budaya rakyat Malaysia. Suatu usaha pendidikan umum yang menyeluruh harus diselenggarakan untuk membekalkan rakyat dengan pengetahuan dan kefahaman tentang agama dan budaya yang diamalkan oleh jiran mereka. Suatu kesedaran harus dibangkitkan bahawa di sebalik kelainan nilai luaran, terdapat lebih banyak kesamaan yang boleh dijadikan nilai sejagat yang dikongsi bersama.

Memang telah dikenal pasti sejak sebelum merdeka lagi bahawa perpaduan rakyat ialah kunci kesejahteraan negara dan pelbagai rancangan dijalankan oleh kerajaan untuk mencapai aspirasi ini. Namun demikian, cabaran dan ancaman terhadap perpaduan nasional masih berterusan.

Saranan menyatupadukan rakyat supaya kedaulatan negara terjamin dan tidak diancam oleh mana-mana pihak masih dilaung-laungkan oleh pemimpin negara.

Usaha seperti menyambut merdeka, Hari Kebangsaan, hari perayaan agama dan budaya kaum-kaum etnik Malaysia dianjurkan secara besar-besaran di pelbagai peringkat komuniti. Ia berjaya memupuk integrasi dalam kalangan rakyat yang datang beramai-ramai meraikan majlis tersebut.

Dari perspektif luaran, boleh diakui bahawa perhimpunan umum secara fizikal berjaya memberi peluang kepada rakyat berbilang kaum untuk berinteraksi dalam suasana yang meriah. Dari segi luaran mereka berintegrasi dan bersatupadu.

Walau bagaimanapun, selain penyertaan dalam majlis yang meriah perlu juga ada penglibatan dalam aktiviti komuniti yang membina hubungan berasaskan usaha bantu-membantu untuk mencapai tujuan bersama. Ini boleh melibatkan aktiviti fizikal seperti gotong-royong di kawasan perumahan; dan mental menerusi pendidikan dan pengajaran untuk pelbagai kumpulan sasaran termasuk mengajar mereka kemahiran tertentu.

Dengan adanya objektif tertentu dan pendekatan yang menggalakkan perkongsian, maka terdapat hasil atau outcome ketara yang bakal memanfaatkan semua. Justeru, yang perlu diketengahkan ialah aktiviti atau program yang memberi hasil di samping keseronokan melakukannya.

Dengan ini, pasti akan terbina perkongsian yang berkesan dan integrasi rakyat pada tahap pragmatik dan realistik. Menerusi pertemuan berkala melakukan sesuatu yang bermakna, komuniti dapat merasai nilai perpaduan dan akan menghargai sumbangan pelbagai kelompok individu.

Kita menerima hasrat kerajaan yang ingin mencapai perpaduan nasional untuk melestarikan kemakmuran dan kesejahteraan negara. Ini benar-benar membuktikan kerajaan Malaysia amat prihatin memelihara masyarakat majmuk, oleh itu rakyat perlu bekerjasama bagi mencapai impian ini untuk dikekalkan sebagai falsafah utama negara seperti terkandung di dalam Rukun Negara.

Kita tidak harus memandang ringan isu integrasi dan perpaduan nasional sebab ia sentiasa menghadapi cabaran serta ancaman dalam perkembangan negara yang begitu pesat. Lebih-lebih lagi apabila sistem nilai masyarakat melalui perubahan daripada pelbagai penjuru.

Satu daripada idealisme tamadun moden yang mempengaruhi pemikiran masyarakat ialah kepentingan hak individu yang menjangkau hak komuniti – satu cabaran yang amat membimbangkan.

Namun demikian, terdapat beberapa nilai kemanusian termasuk keadilan, keamanan, keselamatan, cinta dan belas kasihan, kebijaksanaan dan kesederhanaan yang kekal sebagai asas sistem kemasyarakatan. Nilai-nilai tersebut bukannya terapung di dunia idealisme namun diguna pakai dalam organisasi setiap komuniti dan amat relevan dalam hidup harian setiap individu.

Setiap negara harus membina mekanisme kerjasama yang kukuh untuk setiap komuniti bagi memastikan sistem nilai sejagat dipupuk dan dipelihara. Penting bahawa rakyat negara faham bahawa nilai-nilai tersebut boleh diterapkan dalam pelbagai keadaan yang mereka hadapi.

Sebahagian daripada nilai-nilai ini merupakan nilai moral sejagat yang perlu digunakan sebagai panduan atau prinsip hidup ahli komuniti untuk menjaga kebaikan bersama. Perlu ditegaskan bahawa asas utama sesuatu komuniti ialah pelbagai jenis kerjasama di dalam persekitaran dan ekosistem masyarakat.

Memahami dan menghargai hakikat asas tabii manusia akan membantu kesefahaman antara kaum, agama dan budaya yang akan menentukan kesejahteraan negara.


* Datuk Halimah Mohd Said ialah Presiden Persatuan Suara Keamanan, Hati Nurani dan Kebolehan Menaakul.

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.