Kerajaan akan melaksanakan sistem pendigitalan aset dan operasi dalam kepolisan moden Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dijangka dapat mengurangkan kadar jenayah sehingga 53.2 peratus.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia langkah peningkatan kecekapan dalam membanteras jenayah yang ketika ini berada pada kadar 40 peratus.

Katanya, ia sekali gus menjamin tahap keselamatan awam dengan penggunaan teknologi terkini seperti dibuat negara luar.

Jelasnya, cadangan penggunaan teknologi itu itu merupakan hasil Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu).

Ujarnya, polis telah melakukan pembuktian konsep (POC) kepolisan moden dengan menentukan lebih 200 kawasan panas yang dikenalpasti.

Tegasnya, ia termasuk lokasi berlakunya jenayah lebih kerap, pusat pengedaran dan penagihan dadah dan kawasan kemalangan.

"Modern Policing ini kita tidak hanya memasang Kamera Litar Tertutup biasa, tetapi ia merupakan Kamera Litar Tertutup Pengesanan Automatik Berdefinisi Tinggi.

"Ertinya CCTV ini mampu mengesan sebarang perlakuan jenayah dan perlakuan jenayah serta menjejaki suspek.

"Kita mahu mempelajari teknik penangkapan penjenayah itu yang dibuat mengikut piawaian antarabangsa," katanya semasa sidang media selepas menyampaikan ucaptama Hari Inovasi Huawei Asia Pasifik (APIC) 2017 di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan.

Pada majlis berkenaan, Ahmad Zahid turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Ahmad Razif dan Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia, Abraham Liu.

MoU antara Huawei Malaysia dan Terengganu untuk merangka bersama hala tuju transformasi digital, sekali gus membawa teknologi digital terkini serta penyelesaian teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) ke negeri itu.

Selain itu, Ahmad Zahid turut menyaksikan tiga lagi MoU iaitu antara Huawei dengan CyberSecurity Malaysia; Huawei Malaysia dengan Universiti Malaysia Sabah dan Huawei Technologies dengan SME Corp.

Pada September, Huawei Malaysia memeterai MoU dengan MIMOS, pusat penyelidikan dan pembangunan negara dalam ICT, bagi mengenal pasti penyelesaian pintar berkaitan dengan keselamatan awam dan projek bandar pintar.