Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Putra tergendala berikutan seorang wanita yang sedang mengandung terjatuh di landasan Stesen Damai di sini pagi ini.

Menurut Twitter Rapidkl, perkhidmatan tersebut terganggu kira-kira pukul 7.56 pagi menyebabkan LRT yang menuju arah gombak terpaksa dihentikan sementara.

“Pihak kami telah menghubungi balai bomba dan penyelamat bagi menyelamatkan mangsa yang terjatuh di landasan stesen tersebut. Sebarang perkembangan akan dimaklumkan secepat mungkin,” menurut laporan akaun Twitter tersebut.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd Khairani Mohamed berkata, sistem Platform Intrusion Emergency Stop (PIES) yang dipasang pada platform stesen LRT laluan Kelana Jaya berjaya menyelamatkan nyawa wanita itu yang terjatuh ke atas trek di Stesen LRT Damai pagi ini.

"Mujur sistem PIES bertindak pantas dengan memberhentikan tren yang sedang menghampiri platform secara serta-merta apabila ia mengesan 'objek' terjatuh ke atas trek.
“Sistem PIES berfungsi memberhentikan aliran elektrik pada sistem LRT sekiranya terdapat impak melebihi tujuh kilogram (kg) ke atas plat PIES.

“PIES ini dipasang di semua platform di stesen LRT Laluan Kelana Jaya kecuali di stesen bawah tanah," katanya dalam kenyataan di sini.

Tambah beliau, sistem PIES itu direka dan dipasang di kebanyakan sistem rel bandar di serata dunia bagi mengesan sebarang objek atau gangguan pada sistem trek.

Sejurus selepas kejadian, Polis Bantuan Prasarana bersama pegawai operasi stesen bertindak mengarahkan semua penumpang untuk mengosongkan platform bagi menyelamatkan mangsa.