Penyanyi tersohor tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza akan mengambil peluang mempromosi negara dan Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020) menerusi koleksi lagu-lagu irama Malaysia ketika mengadakan konsert di luar negara selepas ini.

Penyanyi nombor satu negara itu berkata, terdapat perancangan untuk beliau mengadakan konsert di Sydney, Melbourne dan London selepas ini namun ia masih di peringkat awal.

"Saya baru selesai mengadakan persembahan di OzAsia Festival di Adelaide pada 18 Oktober. Segmen irama Malaysia mendapat sambutan paling baik dari penonton Australia dan peminat yang datang dari Indonesia dan Korea Selatan. Turut memberikan sambutan kepada lagu genre berkenaan ialah warga Malaysia yang sudah lama menetap di Australia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai Kayuhan Wanita 2019 sejauh 20 kilometer di sini, hari ini.

OzAsia Festival merupakan acara tahunan yang berlangsung di Adelaide Festival Centre melibatkan persembahan teater, tarian, muzik, filem dan seni visual dari Asia.

Setiap artis dari sebuah negara Asia yang berbeza akan membuat persembahan pada satu malam di sepanjang festival itu. Ini merupakan kali pertama Siti Nurhaliza mengadakan konsert solo di negara tersebut.

Mengulas lanjut mengenai persembahan di OzAsia Festival, Siti Nurhaliza menjelaskan, persembahan beliau melibatkan 15 buah lagu termasuk segmen irama Malaysia yang menampilkan antaranya lagu Cindai yang diterbitkan pada 1997.

Beliau menambah, pihak penganjur memaklumkan persembahan beliau berjaya menarik jumlah penonton paling tinggi iaitu 1,000 penonton pada satu malam sepanjang penganjuran festival berkenaan. - BERNAMA