Keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusoff untuk membenarkan C Sivarraajh hadir persidangan Dewan Rakyat disifatkan satu keputusan yang memenangkan rakyat.

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata demikian sambil menegaskan hal itu perlu menjadi panduan kepada semua pihak untuk tidak bertindak mengikut emosi dan sentiasa rujuk kepada sistem perundangan negara.

“Kami pihak pembangkang mengalu-alukan keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

“Keputusan itu harus dipatuhi kerana undang-undang negara mengikut perkara 48 dan 50 Perlembagaan Malaysia jelas memperlihatkan hakim telah buat keputusan yang betul.

“Tempoh 14 hari rayuan harus dilakukan dan sebelum tamat tempoh itu, mana-mana ahli Parlimen layak untuk terus duduk di Dewan Rakyat,” kata Zahid ketika ditemui di lobi Parlimen, pada Isnin.

BACA: Sivarraajh masih Ahli Parlimen Cameron Highlands - Speaker Dewan Rakyat

Sebelum ini, berlaku perbalahan dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang mengenai keputusan Speaker mengarahkan wakil rakyat Cameron Highlands keluar dari persidangan Dewan Rakyat, susulan keputusan mahkamah.

Pada 30 November lalu, Mahkamah Pilihan Raya telah membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands selepas didapati wujud amalan rasuah yang diketahui dan mendapat keizinan Sivarraajh.

BACA: Penggantungan tidak adil, Sivarraajh belum kemuka rayuan - Zahid