Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) di negara ini digesa mengkaji semula sistem pengajaran dan pembelajaran subjek Bahasa Melayu bagi memperkukuh penguasaan bahasa kebangsaan dalam kalangan pelajarnya.

Pengerusi Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Tan Sri Mohd Ali Rustam yang membuat gesaan itu berkata usaha itu perlu dilaksanakan segera agar tidak berlaku jurang perpaduan ketara antara pelajar SJK dan Sekolah Kebangsaan.

"Bahasa Melayu amat penting kerana ia merupakan medium penyatuan rakyat dan juga identiti negara yang amat bernilai, dengan semua rakyat Malaysia tahu berbahasa Melayu, perpaduan akan menjadi lebih erat.

"Tiada alasan penggunaan bahasa Melayu diambil mudah walaupun di SJK sebaliknya pengajarannya perlu diseimbangkan dengan subjek bahasa Mandarin atau Tamil," katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Perkampungan Belia DMDI ke-15 disertai kira-kira 600 peserta daripada lima buah negara iaitu Indonesia, Singapura, Brunei, Filipina dan Malaysia. Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.

Semalam akhbar melaporkan Pensyarah Institut Alam dan Tamadun Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong berkata seramai 604 daripada 14,000 pelatih Program Latihan Khidmat Negara 2010 yang bukan Melayu tidak boleh berbahasa Melayu, sedangkan ada antara mereka lulus subjek Bahasa Melayu dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.

Teo turut mendakwa bilangan generasi muda bukan Melayu yang gagal bertutur bahasa Kebangsaan dikhuatiri meningkat pada masa depan kerana hampir 90 peratus daripada mereka bersekolah di SJK.