Naib Presiden Warisan Sabah (Warisan), Datuk Peter Anthony hadir ke Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah pada jam 10.25 pagi tadi bagi membantu siasatan pembelian tanah di Tongod bernilai RM155 juta beberapa tahun lalu.

Selepas memberi keterangan selama kira-kira 3 jam, Peter Anthony terus dibawa ke rumahnya di Luyang, dipercayai untuk mendapatkan dokumen berkaitan siasatan yang dijalankan terhadapnya.

Peter diiring keluar dengan keadaan tangannya bergari oleh sepasukan anggota pegawai SPRM kira-kira jam 1.20 petang.

Naib Presiden Warisan itu dibawa masuk ke dalam sebuah kereta jenis Perodua Alza di pekarangan kompleks berkenaan sebelum dipercayai bertolak ke kediamannya yang terletak di Luyang.

Beliau turut ditemani peguamnya, Martin Tommy dan sekumpulan penyokong parti Warisan.

Kelmarin, SPRM memberi tempoh 48 jam kepada Peter dan seorang lagi individu dikenali sebagai Michael Persius Ubu untuk hadir ke pejabat pihak berkuasa bagi menyerah diri dan memberikan kerjasama berhubung siasatan kes berkenaan.

Namun setakat petang tadi, tiada maklumat mengenai kehadiran Michael Persius di mana-mana pejabat pihak berkuasa untuk melaporkan diri.