Seorang guru yang merupakan anggota lembaga pengarah syarikat skim pelaburan cepat kaya ditahan sebelum sempat melarikan diri ke luar negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata suspek berasal dari Kok Lanas, Kelantan berusia 46 tahun merupakan guru yang masih berkhidmat di negeri itu, ditahan pada 1 pagi tadi dalam serbuan di sebuah kondominium di Sri Hartamas di sini.

"Suspek ditahan ketika bersembunyi di dalam sebuah bilik di kondominum berkenaan. Guru lelaki itu dipercayai sedang membuat persiapan untuk lari ke luar negara.

"Operasi terhadap kegiatan kumpulan ini telah dimulakan sejak lima bulan lalu dan guru lelaki ini adalah suspek ke-16 yang ditahan berkaitan dengan aktiviti penipuan yang dijalankan mereka," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini.

Tangkapan itu dilakukan mengikut Seksyen 3(1) Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959, katanya.

"Operasi ini masih diteruskan bagi mengesan 15 lagi individu yang telah dikenal pasti terlibat dengan kegiatan berkenaan," katanya.

Beliau berkata hasil siasatan, kumpulan berkenaan dipercayai memperdaya kira-kira 500,000 orang di seluruh negara dan juga Brunei dengan transaksi mencecah RM50 juta.

Ada antara individu yang melabur, mengalami kerugian antara puluhan ribu hingga jutaan ringgit, katanya.

Pada 25 Julai lepas, polis menahan 15 individu, termasuk dua lelaki bergelar 'Datuk' yang juga dalang skim pelaburan haram itu dalam beberapa siri serbuan di Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Pahang, Kelantan dan Pulau Pinang.