Kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana berpeluang memiliki rumah pertama menerusi cadangan Skim Pembiayaan Deposit Rumah Pertama seperti diumumkan pada pembentangan Bajet 2016, Jumaat lepas.

Pengarah Urusan Kumpulan Bina Darulaman Bhd (BDB) Datuk Izham Yusoff berkata, permintaan untuk pemilikan rumah ketika ini adalah tinggi dalam kalangan masyarakat tempatan.

"Namun, pembayaran deposit kerap kali menjadi isu berbangkit dan penghalang untuk mereka memiliki rumah.

"Menerusi peruntukan yang diumumkan, kami berharap ia sedikit sebanyak dapat membantu golongan yang ingin memiliki rumah sekaligus meringankan beban rakyat," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

MESTI TONTON: [VIDEO] Bajet 2016: Perumahan rakyat terus dipertingkat

Ketika membentangkan Bajet 2016, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Skim Pembiayaan Deposit Rumah Pertama dengan peruntukan sebanyak RM200 juta bagi membantu pembeli rumah pertama.

Izham berkata BDB kini sedang bekerjasama dengan Perbadanan PR1MA, Syarikat Perumahan Negara Bhd dan Jabatan Perumahan Negara untuk membangunkan tanah sedia ada dengan projek perumahan mampu milik.

Katanya, BDB telah mengenal pasti tanah yang sesuai untuk dibangunkan dengan projek hartanah di Kulim, Pokok Sena, Kuala Ketil, Sungai Petani dan Langkawi.

"Pada tahun ini, BDB telah membina 607 rumah mampu milik di Bandar Darulaman, 309 rumah mampu milik di Darulaman Perdana, Sungai Petani dan 76 unit rumah mampu milik di Darulaman Utama, Kuala Ketil," katanya.

Beliau berkata, BDB menerusi anak syarikatnya, BDB Land Sdn Bhd akan membina 1,067 rumah mampu milik di ketiga-tiga kawasan terbabit pada tahun depan sebagai sokongan kepada kerajaan negeri Kedah yang berusaha membina 40,000 rumah mampu milik menjelang 2018.

Mengenai langkah kerajaan menyediakan dana khas untuk menggalakkan penggunaan Sistem Bangunan Berindustri (IBS) dalam Bajet 2016, Izham berkata, ia adalah langkah yang baik.

Ini kerana penyediaan dana itu dapat menjimatkan kos operasi dan tempoh pembinaan sesuatu projek sama ada kediaman atau bangunan, katanya.

Semasa membentangkan Bajet 2016, Najib turut mengumumkan cadangan Dana Galakan IBS sebanyak RM500 juta disediakan melalui SME Bank, sebagai pinjaman mudah kepada pemaju dan kontraktor kategori G5 dan ke bawah, bertujuan meningkatkan penggunaan teknologi itu dalam sektor pembinaan.