Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan memanggil pembikin video Youtube kontroversial bertajuk ‘Video Menghina Islam 1 Hari di Hari Raya’, untuk memberi keterangan hari ini.

Perkara ini disahkan oleh Pengerusi SKMM Datuk Mohamed Shahril Mohamed Tarmizi.

Mohamed Shahril berkata Maznah Mohd Yusof, yang juga dikenali sebagai Chetz Yusof, akan dipanggil untuk membuat keterangan berikutan suruhanjaya itu menerima banyak laporan mengenai video yang dikatakan menghina Islam itu.

“Kami akan mengambil keterangan dari pembikin video itu pada hari ini. SKMM juga telah merujuk kes ini kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) semalam.

“SKMM dan Jakim akan berkerjasama dalam melakukan siasatan ke atas kes ini,” kata Mohamed Shahril kepada Astro Awani.

Semasa dihubungi pagi ini, Chetz memberitahu Astro Awani bahawa dia tidak menghina Islam dan tidak akan memohon maaf untuk sesuatu yang dia rasa bukan satu kesalahan.

Chetz berkata dia adalah pembikin asal video berusia tiga tahun itu dan video itu dimuat naikkan semula tanpa kebenarannya.

Chetz turut mendakwa tajuk video itu telah diubah oleh orang yang memuat naikkan semula video itu untuk menggambarkan dia menghina Islam.

Chetz berkata dia kini bimbang tentang keselamatannya, anjing-anjingnya serta keluarganya selepas menerima ancaman bunuh menerusi SMS.

Video yang berdurasi 1 minit 44 saat itu menunjukkan Chetz, 38, memakai Baju Melayu hitam dan membasuh kaki anjingnya, kemudian seolah mengambil wuduk dengan membasuh kakinya pula dan mengelap anjingnya sebelum menyediakan kuih raya untuk tiga ekor anjing itu.

Video itu juga menyiarkan kata-kata "Raikanlah Aidilfitri bersama-sama, tanpa mengira spesies, warna dan asal-usul (dengan menunjukkan gambar tiga anjing itu).

Ia turut memuatkan ucapan "Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin dari Chetz sekeluarga" dengan gambar lelaki duduk bersama tiga ekor anjing di atas sofa.

Video itu telah menimbulkan perasaan marah di kalangan ramai orang Islam.