Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diminta untuk memainkan peranan lebih proaktif terhadap permainan video dalam talian terutamanya berunsurkan keganasan dan peperangan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihak polis boleh mengambil tindakan tegas, namun SKMM perlu bertindak dahulu.

“Game-game macam ini lah saya kata, sosial media, medium kan. Orang akan mudah terpengaruh, orang akan terdorong, orang akan mencetuskan keinginan untuk mencuba.

“Pelaksanaan itu di mana? Dalam konteks ini, mungkin SKMM boleh mainkan peranan. Itu saya tidak boleh komen (sekatan di Malaysia). Ini bergantung kepada SKMM,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas merasmikan Program Perhimpunan Perpaduan Demi Negara Rukun Tetangga dan Persatuan Penduduk di Kuala Lumpur pada Sabtu.

Turut hadir ialah menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial), Senator P. Waytha Moorthy.

Ayob diminta mengulas berhubung permainan video dalam talian berasaskan peperangan susulan serangan seorang pengganas yang secara kejamnya menembak mati 49 jemaah Islam di dua buah masjid berasingan di Christchurch, New Zealand pada Jumaat manakala 48 lagi dilaporkan cedera, yang dilihat seolah-olah menyamai kejadian berkenaan.