Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang mengesan dan menyiasat pertambahan penggunaan piring satelit haram di Malaysia.

Sejak kebelakangan ini, kotak dekoder satelit Laos (LaoSat) yang memberi akses kepada 160 saluran televisyen mula menjadi popular di negara ini.

"Penjual dan pemilik rumah boleh didakwa kerana memiliki peralatan telekomunikasi yang tidak dibenarkan," kata pegawai SKMM kepada The Star.

Sumber berkata, piring satelit sedia ada digunakan untuk menerima siaran.

"Juruteknik tempatan memasangnya dengan menggunakan piring sedia ada berukuran 65cm dengan menetapkan semula kedudukannya iaitu ke bahagian timur, untuk mendapatkan penerimaan siaran," kata sumber itu.

Tambahnya, penyahkod yang diimport secara haram ke Malaysia boleh didapati dengan mudah di atas talian.

Pesalah boleh dikenakan denda antara 10 hingga 20 kali nilai barang yang disita dan boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun jika mereka ditangkap memiliki peranti tersebut.

Dalam pada itu, jurucakap Astro Malaysia Holdings Bhd berkata, mereka ambil maklum tentang pengunaan piring bekas pelanggan untuk kegunaan LaoSat.

Kerjasama dengan SKMM sedang dijalankan untuk melihat keadaan dan cara terbaik untuk mendapatkan semula peranti berkenaan daripada pelanggan yang telah menamatkan langganan masing-masing.