Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melanjutkan tempoh penebusan rebat RM200 Pakej Komunikasi Belia (PKB) daripada sebulan kepada tiga bulan bermula Rabu.

Belia yang telah berjaya mendaftar dan telah menerima pengesahan yang berjaya pada awal Januari lalu tidak perlu mendaftar semula kerana tempoh sah telah dilanjutkan kepada tiga bulan dari tarikh pendaftaran asal dan bukannya lagi satu bulan.

Menurut Pengerusi SKMN Datuk Mohamed Sharil Tarmizi, pihaknya dalam proses menghantar emel kepada semua yang telah mendaftar bagi memaklumkan mengenai perkembangan terbaharu ini.

Menurut beliau, syarikat-syarikat telekomunikasi dan wakil-wakil penjual yang dilantik juga telah dimaklumkan mengenai lanjutan tempoh tersebut.

Sehingga kini, lebih 440,000 belia yang berumur 21 hingga 30 tahun telah berjaya mendaftar untuk mendapatkan rebat 200 ringgit dan daripada jumlah itu, hampir 60,000 telah membeli telefon pintar baharu.

Setakat ini, terdapat lebih 4,500 wakil penjual seluruh negara yang menawarkan hampir 70 model telefon pintar.

Skim pakej komunikasi belia ini telah dilancarkan pada 1 Januari lalu.