Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat capaian kepada 2,407 laman sesawang tahun ini demi menjamin keselamatan pengguna Internet, terutama kanak-kanak.

Ketua Pegawai Rangkaian Keselamatan dan Penguatkuasaan SKMM Zulkarnain Mohd Yasin berkata suruhanjaya itu menyekat 1,129 laman phishing, laman kandungan lucah (1,113), laman menjijikkan (90), laman bersifat mengancam (72) dan laman palsu (tiga) kerana melanggar Akta Komunikaisi dan Multimedia 1998.

"Apa yang kami lakukan ini (menyekat capaian) adalah demi kepentingan orang ramai dan untuk memelihara maruah mereka.

"Sebagai contoh, menyekat laman sesawang lucah adalah untuk melindungi kanak-kanak daripada pornografi dan penderaan kanak-kanak secara dalam talian manakala laman phishing pula untuk melindungi orang ramai daripada kerugian wang. Ini merupakan langkah pencegahan yang diambil SKMM," kataya pada majlis taklimat kepada media di sini, pada Jumaat.

Zulkarnain berkata SKMM, sebuah badan berkanun yang melaksanakan dan memperkenalkan objektif dasar negara bagi sektor komunikasi dan multimedia, menyekat semua laman sesawang berkenaan atas permintaan kementerian dan agensi seperti Kementerian Kesihatan, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Polis DiRaja Malaysia.

Beliau mengambil contoh kerjasama antara SKMM dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menyekat capaian kepada laman sesawang yang menawarkan pakej umrah tipu secara dalam talian untuk mencegah lebih banyak bakal jemaah menjadi mangsa ejen pelancongan tidak bertanggungjawab.

Di samping pakej umrah tipu, katanya, laman sesawang mengenai aktiviti judi secara dalam talian, ubat-ubatan dan produk solekan, iklan dan jualan juga disekat.

Mengenai penularan berita palsu melalui media sosial, Zulkarnain menggesa orang ramai supaya lebih bertanggungjawab dan bersikap kritis dalam mengesahkan sesuatu berita.

"Orang ramai perlu memainkan peranan mereka dan berhubung dengan kementerian, jabatan dan agensi lain. Dapatkan jawapan rasmi daripada agensi berkaitan, bukan terus menyebarkan khabar angin dan berita palsu yang boleh mencetuskan huru-hara," katanya.

Beliau juga menggesa agensi berkaitan supaya menyanggah secara aktif berita palsu yang menular di media sosial.

"Kita perlu beri penjelasan tentang cerita palsu dan tidak betul dengan segera. Jangan tunggu sampai berhari-hari untuk menyanggahnya, tapi lakukanlah dengan segera bagi mengelak cerita palsu menjadi tular," katanya.

Untuk menjamin keselamatan kanak-kanak ketika menggunakan kemudahan dalam talian, Zulkarnain berkata ibu bapa perlu berganding bahu untuk mewujudkan kesedaran tentang perlunya mengawal selia penggunaan Internet oleh kanak-kanak.

"Setiap ibu bapa juga perlu memainkan peranan bagi menjamin keselamatan dan memastikan Internet diguna secara positif.

"Sehubungan itu, SKMM menyertai enam Penyedia Perkhidmatan Internet (ISP) bagi memperkenalkan Alat Kawalan Ibu Bapa. Alat ini akan membolehkan ibu bapa memantau dan menapis kandungan Internet serta menyediakan satu lapisan keselamatan untuk anak mereka," katanya.

Beliau berkata kira-kira 113,000 orang menggunakan aplikasi kawalan ibu bapa tahun ini untuk menyekat capaian ke laman sesawang bagi anak mereka kerana menyedari kepentingan melindungi keselamatan anak mereka apabila berurusan secara adalam talian.

"Alat Kawalan Ibu Bapa bukan untuk tapisan, tetapi suatu kelebihan kompetitif kerana ia melindungi anak kita daripada anasir negatif," katanya.

-- BERNAMA