NASIHAT yang dititipkan jurulatihnya, Liz Irving masih segar di fikiran Datuk Nicol David.

Kata Irving, apabila sampai masanya kelak, Nicol tentu sedia maklum apa yang harus dilakukannya dalam hidup.

Dan selepas hampir dua tahun membuat pelbagai pertimbangan, masanya sudah tiba masa buat pemain skuasy kebanggaan negara dan dunia itu membulatkan tekad mengumumkan persaraannya.

“Saya sangat gembira dan teruja untuk mengumumkan bahawa saya akan bersara Jun depan.

"Ia akan menjadi musim terakhir saya dalam karier profesional," kata Nicol mengumumkan berita berkenaan secara eksklusif dengan Nadi Arena pada Isnin.

NICOL DAVID mengambil masa hampir dua tahun sebelum membuat keputusan persaraannya. - Gambar fail

Perjuangan selama dua dekad dalam gelanggang skuasy akan dinoktahkan Nicol bermula Jun depan.

Keputusan itu dibuat selepas beliau mengadakan perbincangan bersama keluarga dan Irving yang menjadi tulang belakang kejayaannya ketika di puncak karier dan sehingga kini.

Pemain berusia 36 tahun yang berasal dari Pulau Mutiara, Pulau Pinang itu mengharumkan nama negara di mata dunia dengan siri catatan rekod peribadi yang luar biasa.

Sebagai pemegang rekod pemain paling lama yang menghuni ranking nombor satu dunia sepanjang 2006 - 2015, iaitu selama sembilan tahun, sebelum dirampas jaguh Mesir, Reneem El Weleily, pada 2015, Nicol adalah kebanggaan negara yang tiada tolok tandingnya.

Pemain yang kini di ranking ke-21 dunia itu sudah mengecapi kesemua kejuaraan termasuk lapan kali bergelar juara dunia selain lima pingat emas Sukan Asia, dua emas Sukan Komanwel dan 81 gelaran kejuaraan Jelajah Kesatuan Skuasy Profesional (PSA).

Perkembangan itu ternyata menjadi kehilangan besar buat negara memandangkan Nicol dianggap sebagai ikon sukan kebangsaan sejak lebih sedekad lalu.

Selepas menghabiskan separuh daripada usianya pada squash, Nicol mengakui, bukan mudah baginya untuk membuat keputusan yang paling besar dalam hidupnya itu.

“Keputusan ini sudah difikirkan sejak sekian lama dan saya sedia maklum ini merupakan musim terakhir saya (dalam kejohanan skuasy),” kata Nicol dalam laman web rasmi PSA.

Keputusan menggantung raket bagaimanapun, tidak bermakna Nicol akan terus melupakan gelanggang yang bertanggungjawab membina kemasyhurannya selama ini.

Kepada Nicol, skuasy akan terus menjadi cinta paling abadi dalam kehidupannya.

Dan kerana kecintaan yang mendalam terhadap sukan itu juga mencetus keinginan dalam diri Nicol untuk mendedikasikan dirinya dalam komitmen berbentuk kerja-kerja sosial.

“Saya akan bekerja rapat dengan PSA untuk mencetus kesedaran terhadap sukan ini di peringkat global dan membina sebuah pasukan untuk menyokong atlet skuasy.

“Membantu generasi muda Malaysia menerusi Yayasan Nicol David yang bermatlamat memperkasakan wanita dalam sukan selain akan berkongsi kisah saya dalam program Nurturing Belief iaitu siri jelajah perkongsian pengalaman dan melalui tulisan,” ujar Nicol lagi.

PERSARAAN Nicol David merupakan satu berita yang menyedihkan untuk gelanggang skuasy di Malaysia khususnya dan dunia umumnya. - Gambar fail

Bagi Ketua Eksekutif PSA, Alex Gough, permata kesayangan Malaysia itu merupakan seorang pemain skuasy terbaik sepanjang masa.

Kehebatan Nicol, kata Gough, tidak dapat dinafikan dan ketiadaannya dalam musim-musim akan datang tentu sekali akan dirasai.

“Dia telah memberikan inspirasi kepada generasi pemain Malaysia dan namanya akan dilakar dalam sejarah sebagai salah seorang daripada ikon dalam skuasy,” kata Gouh lagi.

BACA: Ratu skuasy negara Nicol David umum persaraan