Lebuhraya Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (SMART) menawarkan diskaun tol 10 peratus kepada pengguna lebuh raya berkenaan sempena sambutan Tahun Baru Cina, pada Isnin dan Selasa depan.

SMART dalam kenyataan berkata pengguna akan menikmati kadar tol sebanyak RM2.70 berbanding kadar biasa RM3 untuk setiap hala masuk dan keluar Kuala Lumpur, bermula 6 pagi pada Isnin (8 Feb) hingga 6 pagi Selasa (9 Feb).

Menurut kenyataan itu, SMART juga memberikan 200 hamper Tahun Baru Cina kepada pengguna lebuh raya di Tol Sungai Besi, semalam.

Agihan hamper dan pemberian diskaun merupakan komitmen sosial syarikat kepada pengguna yang menggunakan lebuh raya SMART pada hari perayaan tersebut, kata kenyataan.

Untuk maklumat lanjut, pengguna boleh melayari laman web SMART di www.smarttunnel.com.my atau mengikuti laman facebook SMART Tunnel, Twitter @Smarttunnel atau hubungi talian bebas tol 1300-88-7188 untuk sebarang pertanyaan.