SME Bank telah berjaya meluluskan 940 permohonan Kemudahan Bantuan Khas (SRF) berjumlah sehingga RM503.04 juta menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat.

Selain SRF, setakat 28 Julai 2020, SME Bank turut memproses sebanyak 15 permohonan AgroMakanan (AF) bernilai RM7.83 juta, kata bank itu dalam satu kenyataan hari ini.

"Ini merupakan antara dana-dana yang disediakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk membantu usahawan yang terjejas akibat krisis COVID-19 di samping Kemudahan Automasi dan Digital (ADF) dan Kemudahan Semua Sektor Ekonomi (AES) yang turut ditawarkan oleh SME Bank," katanya.

Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank Aria Putera Ismail berkata di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), SME Bank telah diberi kepercayaan untuk menguruskan dua dana penting dalam usaha menyokong kelangsungan perniagaan PKS terutamanya, dari sektor pembinaan, perkhidmatan dan pembuatan selepas krisis COVID-19 ini berakhir.

"Kami telah memperuntukkan dana sebanyak RM1.6 bilion untuk Skim SME Go dan RM500 juta bagi Dana Transformasi Teknologi PKS (STTF)," kata beliau.

Beliau berkata impak daripada program transformasi digital yang dilaksanakan telah membolehkan SME Bank meningkatkan kecekapan operasi dan kualiti perkhidmatan denganmengurangkan proses berulang serta memanfaatkan pendigitalan sebagai penyelesaian pembiayaan.

"Langkah ini telah membantu pihak bank dalam memendekkan proses permohonan terutamanya sewaktu krisis COVID-19 yang mana usahawan PKS memerlukan bantuan kewangan dengan pantas," tambah beliau.

-- BERNAMA