ALOR GAJAH:Dua buah sekolah di Masjid Tanah, Melaka diarah tutup selepas seorang pelajar dari kedua-dua sekolah berkenaan disahkan positif COVID-19.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, kes melibatkan dua beradik itu merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lubuk China dan Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Berembang.

“Keluarga itu telah mengadakan kenduri pada awal Oktober lalu dan dihadiri oleh ibu saudara yang baharu pulang dari Labuan, Sabah.

“Pelajar berkenaan menginap di Kampung Nerambai, Negeri Sembilan dan seluruh anggota keluarganya seramai lapan orang disahkan positif wabak tersebut dan telah dibawa ke Hospital Seremban untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Arahan penutupan sekolah bermula hari ini sehingga 21 Oktober. - Foto Astro AWANI


Mengulas lanjut ujarnya, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Alor Gajah juga giat melakukan pengesanan kontak dikalangan guru, pelajar serta pekerja sekolah yang terlibat.

"Arahan penutupan sekolah bermula hari ini sehingga 21 Oktober itu, adalah bagi mengelakkan penularan penyakit berjangkit dan membolehkan kerja membasmi kuman dijalankan.

“Saringan pengesanan kontak akan diaturkan segera selain proses disinfeksi oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri juga dilakukan,” tambahnya.

Setakat 12 tengah hari semalam, Melaka mencatatkan sembilan kes aktif dengan dua kes baharu dilaporkan di daerah Alor Gajah.