Bekas pelajar Sekolah Menengah Maxwell, di ibu negara berharap sekolah itu tidak menjadi mangsa pembangunan pesat seperti mana yang berlaku kepada Sekolah Perempuan Bukit Bintang, yang pernah dipindahkan untuk memberi laluan kepada pembangunan.

Ini kerana tidak banyak sekolah di Malaysia menempuh peristiwa bersejarah selama seabad, selari dengan apa yang dilalui negara ini selama 100 tahun.

Sekolah itu meraikan sambutan ulang tahun ke-100 hari ini.

Antara peristiwa penting yang dilalui sekolah ini ialah fasa kemelesetan ekonomi dari 1933 sehingga 1939, menyaksikan sekolah ini turut ditutup selama 7 tahun.


Ia juga pernah dijadikan berek bagi askar Jepun, ketika kependudukan Jepun di Malaya pada 1941. Selain itu, bangunan sekolah yang ditubuhkan pada 1917 ini dibina dengan ciri-ciri kolonial British.

Pada zaman pra-peperangan, SMK Maxwell juga berfungsi sebagai sekolah permulaan (feeder school) kepada Victoria Institution (VI).

SMK Maxwel ljuga telah melahirkan beberapa atlet berkaliber tinggi yang mewakili negara.

Antara lepasan sekolah bersejarah ini termasuk lagenda bola sepak Malaysia, dengan jumlah penampilan melebihi 100 buat pasukan negara, Zainal Abidin Hassan (1975-1979) dan bekas pemain hoki kebangsaan, Maninderjit Singh yang mewakili 'The Malaysian Hockey Tigers' dari 1990-2003.

"Saya memilih Sekolah Maxwell ini kerana saya dapat tahu bahawa ia mementingkan sukan dan juga mempunyai cikgu cikgu sebagai jurulatih bola sepak yang baik," kata Zainal Abidin di sambutan ulang tahun ke-100 sekolah itu.

"Jadi saya ucapkan terima kasih kepada cikgu-cikgu sekolah dan juga sekolah ini yang menggilap bakat saya untuk menjadi pemain bola sepak yang terkenal," tambahnya dengan nada bersyukur.

SMK Maxwell meraikan sambutan ulang tahun ke-100 dengan pelepasan belon besar di perkarangan sekolah, pada Ahad.