Polis sedang menyiasat tentang perbualan khidmat pesanan ringkas (SMS) suspek amuk dengan individu tertentu yang dipercayai telah mengganggu proses rundingan menyelamatkan lima mangsa tebusan pada Ahad, kata Ketua Polis Melaka Datuk Chuah Ghe Lye.

Beliau berkata polis telah merampas telefon bimbit suspek berusia 30-an itu selepas mengesyaki terdapat perbualan SMS memberi maklumat semasa proses rundingan sehingga menyebabkan suspek marah dan enggan bekerjasama.

"Tindakan individu terbabit adalah tidak wajar kerana ketika polis berusaha menyelamatkan mangsa, ada individu yang menyukarkan keadaan dan ini boleh mengakibatkan kematian kepada tebusan (pada ketika itu)," katanya ketika mengulas perkembangan kes amuk di sebuah rumah di Taman Duyong Indah awal pagi Ahad.

BACA: Polis selamatkan lima beranak tebusan amuk

Dalam kejadian itu, suspek telah menjadikan isterinya berusia 44 tahun dan ibu wanita itu berumur 63 tahun serta tiga anaknya berusia tiga, tujuh dan sembilan tahun sebagai tebusan dan mereka berjaya diselamatkan selepas polis bertindak menyerbu masuk rumah tersebut kira-kira pukul 2 pagi selepas rundingan selama enam jam gagal.

Chuah berkata ibu mangsa sudah keluar hospital namun isteri suspek masih dirawat.

Beliau berkata siasatan mendapati suspek tidak pernah menerima rawatan psikiatri dan tiada rekod jenayah.

"Siasatan juga mendapati suspek yang tidak bekerja itu positif dadah jenis syabu dan direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan," katanya.

Mengenai Op Warta bagi memburu pesalah trafik yang masih belum menjelaskan bayaran saman, Chuah berkata operasi bermula hari ini sehingga 31 Mei.