Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menjelaskan soalan Kursus Hubungan Etnik (UUW235) yang tular di laman sosial baru-baru ini kerana dianggap menyentuh sensitiviti kaum oleh sesetengah pihak adalah mengikut prosedur akademik atau Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Naib Canselor UniMAP, Prof Ir. Ts. Dr R Badlishah Ahmad berkata UniMAP telah menjalankan siasatan terperinci menerusi satu jawatankuasa dianggotai oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Penasihat Undang-Undang, Pendaftar, Dekan Pusat Pengajian dan Dekan Pengurusan Akademik.

Katanya berdasarkan siasatan terperinci yang dijalankan, panel penilai soalan yang dilantik oleh UniMAP terdiri daripada pelbagai bidang akademik dan kaum malah kesemua soalan dalam kertas peperiksaan adalah selari dengan tajuk "Cabaran-cabaran Hubungan Etnik dan Isu-Isu Semasa".

"Berlandaskan prinsip kebebasan akademik di universiti serta menguji tahap kematangan pelajar, kesemua isu-isu semasa dan terkini telah dikupas dan dinilai berpandukan kepada disiplin akademik sama ada semasa sesi pembelajaran dan pengajaran serta diuji dalam penilaian kerja kursus dan peperiksaan akhir,"katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

R Badlishah berkata hasil siasatan jawatankuasa juga mendapati bahawa penularan soalan yang dianggap menyentuh sensitiviti kaum baru-baru ini adalah kerana telah ditafsir di luar konteks objektif pengajaran dan pembelajaran bagi kursus ini, terdapat kekhilafan dalam menterjemah perkataan 'ignorant' kepada 'bodoh' bagi pilihan jawapan ke-IV soalan 60.

"Untuk permulaan, UniMAP akan memperkemaskan pemeriksaan atau penilaian soalan agar tidak menyentuh isu-isu secara spesifik sebaliknya lebih bersifat umum. Pada masa sama, sekiranya ada soalan berbentuk pendapat, ia tidak akan dimasukkan dalam soalan berbentuk MCQ sebaliknya soalan MCQ hanya akan menjurus kepada soalan fakta dan teori sahaja.

"UniMAP menegaskan sentiasa berusaha untuk tidak terlibat sama dengan segala isu bersifat kontroversi malah pihak universiti sentiasa terbuka untuk menerima segala pandangan dan penambahbaikan daripada semua pihak," kata R Badlishah menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu.

Menurut R Badlishah, kursus UUW235 ini telah melalui proses tapisan kualiti dan pemeriksaan yang sistematik bermula dengan perbincangan dan kelulusan di peringkat mesyuarat majlis di pusat pengajian, peringkat jawatankuasa pengurusan akademik dan seterusnya mendapat kelulusan Senat.

Beliau berkata topik Cabaran-Cabaran Hubungan Etnik dan Isu-Isu Semasa merupakan satu daripada sembilan topik yang akan dipelajari oleh pelajar kursus UUW235 seramai 1,355 orang.

Isnin lepas, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Kementerian Pendidikan mengambil maklum berkenaan kontroversi beberapa soalan peperiksaan di Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) yang dianggap sensitif oleh sesetengah pihak, namun tidak akan campur tangan dalam urusan perlaksanaan program akademik berdasarkan konsep autonomi universiti.

Pejabat Ketua Pengarah JPT dalam kenyataan sama berkata pihaknya memegang konsep autonomi berserta kebertanggungjawaban, dan menerusi konsep ini, pihak universiti bertanggungjawab kepada semua pihak berkepentingan, termasuk pelajar dan orang awam.

-- BERNAMA