Selalunya jika cuti umum, di Jalan Tuanku Abdul Rahman terutama di hadapan pusat membeli belah Sogo, seawal jam 10 pagi keadaan masih lengang.

Tetapi hari ini, sebelum jam 10 pagi, di hadapan Sogo, ramai orang, lebih kurang 200 orang, sudah mula berkumpul.

Mereka datang dari seluruh negara, ada yang tiba malam tadi dan ada yang sampai pagi tadi, semuanya datang untuk menyertai Himpunan 1 Mei membantah pelaksanaan cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan diadakan di Jalan Raja petang nanti.

Himpunan ini dianjurkan oleh beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan disokong oleh Pakatan Rakyat serta PSM.

Polis memberi kebenaran kepada Jawatankuasa Himpunan 1 Mei untuk menggunakan Jalan Raja yang terletak di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad sebagai lokasi perhimpunan.

Selain Sogo, peserta himpunan juga berkumpul di beberapa lokasi lain antaranya Masjid Negara, KLCC dan Dataran Maybank.