Solat Jumaat di Az Zaiton, Bukit Pinang hari ini merupakan yang pertama diadakan di masjid itu semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa pada 18 Mac lalu.

Bagi imam dan jemaah di masjid berkenaan, mereka menzahirkan kesyukuran serta kegembiraan kerana dapat menyempurnakan ibadat tersebut.

Solat Jumaat yang disempurnakan dalam tempoh 12 minit termasuk solat, khutbah dan doa itu diketuai Imam Masjid Az Zaiton, Sallehudin Said, 65.

Di dalam khutbahnya, Sallehudin turut menyeru umat islam kembali ke landasan sebenar syariat islam.

Menurut beliau, Allah telah menegur hambaNya dengan kedatangan COVID-19 ini, justeru umat Islam harus kembali kepada ajaranNya.

"Lebih istimewa adalah (hari ini) Jumaat terakhir dalam bulan Ramadan pada tahun ini, pada hari ini juga (solat) Jumaat yang pertama kalinya dibenarkan untuk kita tunaikan selepas Perintah Kawalan Pergerakan dan kini kita memasuki pula kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang membataskan pergerakan kita selama ini.

"Namun kita wajib bersyukur kerana Allah panjangkan umur kita supaya dapat menjalani ibadah puasa hingga kini hingga sampai ke penghujungnya," kata Salehuddin.

Sementara itu, bagi seorang jemaah, Ghazali Man, 69, dia begitu gembira selepas diberikan peluang menunaikan solat itu.

Katanya, ini adalah Jumaat terakhir Ramadan dan dia diberi peluang walaupun dengan beberapa prosedur operasi standard (SOP) terpaksa dilalui sebelum dapat masuk ke dalam masjid untuk menunaikan solat Jumaat.

"Alhamdulillah tadi saya pun dapat tahu daripada Tok Imam suruh saya mai (datang ke masjid)... saya pun seronoklah sebab (sudah) empat hingga lima minggu tak pernah mai (solat) Jumaat, tak fikir apa dah yang penting seronok nak mai (solat Jumaat)," kata Ghazali.

Bagi Abd Ghani Ayob, 60, pula, biarpun menjawat jawatan sebagai antara ahli jawatankuasa masjid, dia sendiri tidak terlepas daripada larangan menunaikan solat Jumaat di masjid itu selepas PKP dikuatkuasakan pada Mac lalu.

"Rasa macam lama kita duduk rehat di rumah. Jadi terpanggil (untuk ke masjid) juga sebab hati tergerak-gerak gerak nak ke masjid. (Tetapi disebabkan) COVID-19, semua (jemaah) berehat di rumah, (krisis COVID-19) satu kejutan bagi diri saya, seumur hidup tak pernah jadi," katanya mengenang betapa peritnya melalui pengalaman berhadapan pandemik COVID-19.

Tinjauan Astro AWANI mendapati jemaah yang tiba di pintu masuk Masjid Az Zaiton diminta oleh jawatankuasa masjid agar mencatat butiran diri selain menjalani pemeriksaan suhu badan sebelum dibenarkan memasuki pekarangan masjid.

SOP sama dilaksanakan sejurus tiba di dewan solat di mana kelihatan beberapa penanda diletakkan setiap satu meter sebagai petunjuk tempat jemaah boleh berdiri menunaikan solat Jumaat.

Jemaah solat Jumaat hari ini juga tidak menunaikan solat sunat Rawatib Qobliyah dan Ba'diyyah seperti kelaziman sebelum PKP.