Larangan penggunaan imam dari luar negara untuk solat sunat Tarawih memberi peluang latihan kepada para pelajar maahad tahfiz tempatan.

Perak mempunyai 70 buah maahad tahfiz yang berdaftar, yang mempunyai ramai pelajar tahfiz antara lima hingga 30 juzuk.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, pengurusan surau dan masjid tidak perlu mencari orang luar untuk menjadi imam solat Tarawih.

"Kita di Perak ni, kita ada 70 maahad tahfiz yang berdaftar, jadi mungkin kita nak bertukar selera. Sesetengah masjid nak bertukar selera, ada imam-imam sepanjang sebelum Ramadan ni bukan yang hafiz, maka nak tukar selera, nak cari yang hafiz.

"Jadi kenapa kita tak mengunakan kesempatan yang ada, untuk kita menjemput pelajar-pelajar tahfiz di samping kita memberikan ruang untuk (latihan) praktikal," ujar Mohd Yusop.

Baru-baru Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah bertitah untuk tidak membenarkan imam luar negara menjadi imam solat Tarawih di negeri Perak.

Selain 70 maahad tahfiz, Jabatan Agama Islam Perak turut mempunyai 80 penuntut pengajian al-Quran peringkat diploma di Intitut Tadbiran Islam Perak (INTIM) selain yang terdapat di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS).

"(Imam yang) kita jemput dari luar kadang-kadang kita tak tahu latar belakang. Kita jemput daripada Thailand, Syria, atau Libya kita pun tak tahu siapa. Kita dengar dia tu hafiz tapi kita pun tak tahu latar belakang. Maka eloklah kita utamakan produk negeri sendiri," ujar beliau.