Unit Hal Ehwal Agama- Agama Lain (UNIFOR) menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Sarawak hari ini mengeluarkan garis panduan umum pembukaan semula rumah ibadat bukan Islam di negeri itu.

Kesemua rumah ibadat ini dibenarkan dibuka semula dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) digariskan bermula 20 Jun ini.

Menurut Pengerusinya Datuk Amar Douglas Uggah Embas, pembukaan semula semua rumah ibadat ini tertakluk kepada rumah ibadat yang diwartakan di bawah Missionary Societies Ordinance 1967 (SARAWAK CAP.106) atau di bawah Charitable Trust Ordinance 1994 dan berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) di bawah Akta Pertubuhan 1966 (Akta 355).

Berikut antara SOP yang digariskan UNIFOR:

- Kehadiran mengikut saiz rumah ibadat dengan tidak melebihi 100 orang dan mengambil kira penjarakan sosial satu meter.

- Mereka yang bergejala seperti demam, batuk atau sesak nafas TIDAK DIBENARKAN menghadiri sebarang upacara di rumah ibadat.

- Kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah TIDAK DIBENARKAN.

-. Pesakit kronik (terutama warga emas) dinasihat mengambil langkah berjaga- jaga.

-. Proses nyah cemar sebelum dan selepas upacara ibadat perlu dilakukan.

- Menjalankan proses pengambilan suhu, penggunaan penutup hidung dan mulut, penjarakan sosial, pengunaan hand sanitiser.

- Pengimbasan kod QR atau mengisi buku kehadiran atau menggunakan aplikasi MySejahtera dan COVID trace.

Pihak pengurusan rumah ibadat dikehendaki menyesuaikan garis panduan umum JPBNS ini dengan keadaan serta keperluan agama dan rumah ibadat masing-masing.

Garis panduan ini berkuatkuasa mulai 20 Jun sehingga satu tarikh yang akan diputuskan nanti. Sepanjang tempoh berkenaan pihak penguatkuasa akan memantau pematuhannya dari semasa ke semasa.