Prosedur operasi standard (SOP) pengambilan anggota bomba wanita akan diperbaharui bagi memberi peluang lebih ramai golongan 'hawa' menyertai pasukan penyelamat itu, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

Zuraida berkata pihaknya telah meminta Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Muhammad Hamdan Wahid mengkaji semula proses dan ujian fizikal agar pengambilan golongan itu dapat dipermudahkan.

"Ketika ini peluang pekerjaan (anggota bomba wanita) dibuka untuk semua tetapi golongan wanita kurang memohon kerja sebagai anggota bomba kerana mereka menjangkakan kerja ini tidak sesuai dengan melibatkan banyak tugas-tugas fizikal yang agak kasar seperti panjat bangunan atau memadamkan kebakaran.

"Sebenarnya, ada banyak lagi tugas-tugas anggota bomba yang memerlukan penglibatan anggota wanita seperti memberi latihan kesedaran dan kaunseling kepada orang awam khususnya suri rumah mengenai program-program pencegahan kebakaran," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perjumpaan bersama warga JBPM Perak yang turut disertai Pengarahnya, Azmi Osman di Balai Bomba Meru Raya di sini hari ini.

Zuraida berkata ketika ini anggota bomba wanita hanya kira-kira lebih 200 orang daripada keseluruhan 14,000 anggota di seluruh negara dan jumlah itu hanya sekitar lima peratus sahaja.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata penilaian teknikal ke atas syarikat yang berjaya memperoleh tender bagi pembelian baju kalis api untuk anggota bomba kini dalam peringkat akhir.

Beliau berkata baju kalis api baharu itu bagi menggantikan pakaian sedia ada, akan diuji terlebih dahulu bagi memenuhi standard dan piawaian yang ditetapkan.

Media sebelum ini melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia merampas 6,000 baju kalis api bernilai RM13.5 juta selepas kontraktor dilantik membekalkan pakaian yang berisiko kepada anggota bomba biar-pun bernilai RM2,400 hingga RM2,500 sepasang.

Malah, sembilan balai bomba di seluruh negara berdepan masalah kekurangan baju kalis api pada tahap kritikal beri-kutan tiada pembelian baharu sejak dua tahun lalu sehingga memaksa anggota menggunakan pakaian usang atau berkongsi dengan rakan yang tidak bertugas jika berlaku kebakaran.

-- BERNAMA