KUALA LUMPUR:Prosedur operasi standard (SOP) yang akan menjadi panduan penuntut luar negara tahun hadapan akan dibentangkan dalam masa terdekat.

Ketua Pegawai Eksekutif, Education Malaysia Global Services (EMGS), Mohd Radzlan Jalaludin berkata, SOP itu bagi memastikan kelangsungan pembangunan dan ekonomi pendidikan pengajian tinggi dapat dipertingkat pada masa sama tidak melepas pandang krisis kesihatan global.

"Apabila Datuk Seri Ismail Sabri (Menteri Kanan Pertahanan) mengumumkan pelajar-pelajar antarabangsa akan masuk pada 1 Januari, ia termasuk semua pelajar yang baru atau sedia ada dari semua negara kecuali United Kingdom.

"Untuk pelajar baharu, kita jangkakan paling awal (kemasukan mereka) adalah pada minggu ketiga Januari 2021, mengambil kira SOP yang sedang diperhalusi dan akan dimuktamadkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM)," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI hari ini.

Menurutnya, EMGS akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam memastikan pematuhan semua SOP yang telah digariskan seiring usaha merealisasikan sasaran 250,000 pelajar antarabangsa pada tahun 2025.

Jelasnya, kemasukan penuntut luar negara bakal membantu sedikit sebanyak proses pemulihan ekonomi berikutan impak COVID-19.

"Seorang pelajar antarabangsa akan berbelanja untuk sara hidup lebih kurang RM30,000 setahun. Ia tidak masuk yuran pengajian.

"Jadi mereka akan berbelanja untuk penginapan, kemudahan, pengangkutan, makanan dan yang ada duit lebih mungkin untuk pelancongan.

"Situasi ini dilihat sebagai satu aspek yang mampu menyumbang ke arah merancakkan ekonomi setempat disamping kehadiran pelajar antarabangsa di kampus juga akan mewujudkan satu persekitaran antarabangsa kepada komuniti dalam dan luar kampus," ujarnya.

Melihat kepada usaha menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan antarabangsa, Mohd Radzlan berkata pelbagai usaha boleh dipergiatkan lagi dalam menaik taraf kualiti pendidikan tinggi negara setanding negara contoh lain.

"Kita tahu pada masa ini, Malaysia dikenali sebagai negara destinasi pelancongan, tetapi pendidikan belum lagi berada di satu tahap yang dikenali oleh masyarakat dunia sebagai pusat pengajian tinggi.

"Jadi kita harus kekalkan kedudukan sedia ada, meningkatkan lagi usaha dan membantu univerisiti lain untuk mereka juga sama-sama mempertingkatkan kualiti mereka sekaligus dikenali serata dunia," katanya.

Menurut Statistik Pendidikan Tinggi 2018, Malaysia berjaya menarik 170,000 pelajar antarabangsa yang kebanyakan mereka dari negara Asia, Asia Barat dan negara Afrika.

Pada 2018, 40,000 pelajar antarabangsa melanjutkan pengajian di universiti awam dan ramai mengikuti pengajian peringkat Sarjana dan Ijazah Kedoktoran.