Kerajaan akan mewujudkan satu prosedur operasi standard (SOP) sebagai langkah jangka pendek bagi Mahkamah Syariah memperketatkan peruntukan berkaitan perkahwinan di kalangan kanak-kanak.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof menegaskan, kerajaan komited untuk melaksanakan pengharaman dalam perkahwinan kanak-kanak.

“Kita akan keluarkan SOP untuk memperketatkan prosedur, kerana selagi ada peruntukan perkahwinan kanak-kanak, anda harus menghormatinya.

“Ini hanya langkah sementara. Langkah jangka panjang yang lebih penting, di mana kita sepatutnya melaksanakan pengharaman perkahwinan kanak-kanak,” katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini.

Jelasnya, SOP itu dijangka dibentangkan kepadanya untuk penelitian pada penghujung bulan ini.

Sebelum ini, negara dikejutkan apabila seorang lelaki berusia 41 tahun dari Gua Musang, Kelantan, berkahwin dengan kanak-kanak 11 tahun, warga Thailand.

Peruntukan undang-undang sedia ada membenarkan kanak-kanak perempuan di bawah 16 tahun dan lelaki di bawah 18 tahun berkahwin jika mendapat kebenaran Mahkamah Syariah.

Bagi bukan Islam, mereka perlu mendapatkan kebenaran khas ketua menteri atau menteri besar negeri berkaitan.