Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menjelaskan isu permit perkhidmatan teksi Johor Baharu-Singapura akan diselesaikan secepat mungkin dan perkhidmatan itu akan tetap diteruskan.

SPAD dalam kenyataan pada Rabu menarik perhatian bahawa pihaknya sedang bekerjasama dengan POS Malaysia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi mendapatkan permit perjalanan yang dikeluarkan oleh pihak Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura pada 2 Julai.

"Isu mengenai penyerahan permit kepada pemandu teksi Johor dijangka selesai dalam jangka masa satu hingga dua hari," menurut kenyataan itu.

SPAD berkata bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan teksi merentasi sempadan itu, sokongan daripada pihak teksi Singapura telah diterima.

"Ini bermakna tidak akan ada gangguan perkhidmatan teksi dari Singapura ke Larkin dan Larkin ke Singapura," katanya.

Perkhidmatan teksi Johor Baharu-Singapura dilaporkan terjejas berikutan masalah permit yang tamat tempoh, sekali gus menyulitkan lebih 1,000 pengguna untuk ke negara berkenaan.

Permit kebenaran memasuki Singapura itu tamat pada 31 Mei lepas dan kemudian disambung sebulan sehingga semalam, dan kesemua teksi Johor Baharu-Singapura tidak dapat memasuki republik berkenaan sejak 12 tengah malam kelmarin.