Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan mengusulkan kepada kerajaan cadangan untuk meminda Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 untuk meningkatkan taraf perkhidmatan dan kebajikan pemandu teksi di negara ini.

SPAD dalam satu kenyataan hari ini berkata ia melibatkan semakan terhadap aspek-aspek kawal selia secara menyeluruh dan mengenal pasti model perniagaan terbaik bagi industri teksi tanah air.

Bagaimanapun kenyataan itu tidak menyatakan tarikh ia akan diusulkan.

Selain itu, SPAD juga akan mengkaji peraturan-peraturan yang akan mengutamakan pengguna, menyokong teknologi terkini dan inovasi yang mesra pengguna, menurut kenyataan itu.

Cadangan itu susulan daripada syor yang dikemukakan persatuan teksi dan pemandu-pemandu pada beberapa pertemuan yang diadakan dengan SPAD.

"SPAD dengan ini memberi jaminan kepada industri teksi bahawa kami akan mencari jalan penyelesaian dalam jangka masa terdekat bagi mengatasi isu-isu yang diketengahkan dalam usaha menaik taraf industri pengangkutan awam darat di Malaysia," kata kenyataan itu.

Sebelum ini, kerajaan mewujudkan program Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1Ma) pada 2012 dan program Teksi 1Malaysia (TEKS1M) pada 2013 untuk mengatasi masalah industri teksi negara.