Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menafikan sebarang usaha untuk menjenamakan semula perkhidmatan perkongsian kereta GrabCar dan Uber bagi membolehkan ia beroperasi secara sah.

Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Azharuddin Mat Sah berkata, ia maklumat salah yang mengelirukan masyarakat mengenai masa depan GrabCar dan Uber sendiri.

"Saya rasa laporan itu kurang tepat, SPAD tidak ada cadangan untuk menjenamakan semula Uber dan GrabCar, ia laporan yang salah," katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat SPAD di sini, hari ini.

Mohd Azharuddin berkata demikian ketika ditanya mengenai laporan sebuah portal yang menyiarkan kenyataan Ketua Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Wan Saiful Wan Jan terhadap penjenamaan semula Uber dan GrabCar.

Kata Wan Saiful, rombakan itu jika terjadi boleh menjejaskan industri teksi serta pengguna sendiri.

Sebelum ini SPAD dalam cadangan Program Transformasi Industri Teksi (TITP) mereka antara lain menjelaskan tentang perlunya membenarkan dari segi undang-undang perkhidmatan Uber dan Grabcar serta menyamaratakan medan persaingan untuk pemandu teksi.

Sementara itu, Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, Kabinet telah meluluskan TITP yang menggunakan pendekatan inklusif dan menyeluruh untuk menyelesaikan isu berkaitan.

Jelasnya, ia akan dilaksanakan melalui 11 program dan berasaskan empat prinsip utama.

"Kita beri peluang individu di syarikat operator teksi keluar daripada sistem pajak. Kita akan memberi peluang untuk mereka memohon lesen individu dengan geran sebanyak RM5,000 sebagai deposit dan tertakluk kepada kelayakan," katanya.

Selain itu, program-program lain ialah mengawal selia aplikasi e-hailing sebagai perkhidmatan perantara di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD), membuka pilihan model bagi kegunaan teksi, piawaian kontrak sewa teksi dengan terma-terma kontrak di bawah undang-undang, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) wajib bagi pengendali teksi dan mengenakan proses saringan yang ketat.

Selain itu program TITP lain adalah meningkatkan piawaian perkhidmatan menggunakan sistem merit dan demerit, menyelaraskan struktur tambang bermeter, menyelaraskan kadar tambang berdasarkan zon, membenarkan kadar tambang dinamik bagi teksi bermeter yang menggunakan aplikasi e-hailing dan memperkenalkan program bagi meningkatkan prestasi pemandu teksi.

Dalam pada itu kata Syed Hamid, Kerajaan juga sudah memberikan SPAD mandat untuk memperkemas dan mengawal selia industri teksi melalui pengeluaran Kad Pemandu yang tunggal.

"SPAD dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga akan memulakan perbincangan bagi menentukan langkah-langkah yang perlu diambil dan dijangka akan membuat pengumuman dalam tempoh terdekat.

"Peraturan-peraturan juga akan dikenakan ke atas syarikat-syarikat dan pemandu e-hailing bagi memastikan keperluan matlamat dasar seperti perlindungan insurans dan keselamatan dipatuhi," jelasnya.

E-hailing merupakan proses menempah teksi, limosin atau apa bentuk pengangkutan menggunakan gajet termasuk komputer atau telefon mudah alih.